MUHAMMAD Sanusi (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen antara Mohd Azad (depan kiri) dan Lee Changwook  (depan kanan) bagi Projek "Light Rapid Transit" (LRT) di Langkawi. FOTO Wan Nabil Nasir
MUHAMMAD Sanusi (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen antara Mohd Azad (depan kiri) dan Lee Changwook (depan kanan) bagi Projek "Light Rapid Transit" (LRT) di Langkawi. FOTO Wan Nabil Nasir
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kedah merancang membina sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi pada masa hadapan.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah, berkata syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan dipilih bagi melaksanakan kajian projek yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Katanya, RETD bakal bekerjasama bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Syarikat Q-Plex untuk mengkaji sudut teknikal, geografi dan impak projek itu kepada ekonomi setempat.

"Hasil dapatan kajian ini yang akan menentukan panjang jajaran, stesen dan prasarana berkaitan tetapi pada dasarnya kita merancang untuk membangunkan perkhidmatan ini dari Terminal Feri Kuah ke Pantai Chenang.

"Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa sebelum dikembangkan ke destinasi pelancongan lain yang terdapat di Langkawi agar kita dapat memiliki rangkaian pengangkutan terbaik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak yang bakal melaksanakan kajian projek LRT terbabit di Wisma Darul Aman.

Pada majlis itu, PKB dan RETD diwakili Ketua Pegawai Eksekutif masing-masing iaitu Mohd Azad Jasmi dan Lee Changwook

.

Hadir menyaksikan majlis Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Haim berkata, pembangunan projek itu perlu mengambil kira keperluan Langkawi dalam melaksana perubahan dalam sistem pengangkutannya agar dapat mengekalkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan.

"Projek seperti ini mampu meningkatkan perkembangan industri pelancongan di Kedah khususnya Langkawi apabila infrastruktur pelancongan dipertingkat sebagai antara tarikan pelancong.

"RETD merancang pembangunan stesen yang inovatif apabila kawasan sekitarnya mampu menjadi hab komersial dan perumahan kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:31 PM