JI SOO dituduh dalang keganasan di sekolah.
JI SOO dituduh dalang keganasan di sekolah.
Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO! Gara-gara kenyataan di sebuah forum, pelakon Ji Soo menjadi mangsa fitnah apabila dituduh sebagai kaki buli dan melakukan keganasan ketika bersekolah dulu.

Justeru, agensinya Keyeast kini dalam proses menyiasat kesahihan tuduhan itu dan berjanji akan melakukan sebaiknya untuk artis naungan mereka itu.

Menurut kenyataan itu, mereka kini giat mengumpul bukti mengenai kes itu.

"Ini adalah pendirian kami terhadap hantaran mengenai Ji Soo yang tersebar dalam talian. Kami melihat insiden ini dengan serius dan akan melakukan usaha terbaik untuk mengesahkan fakta itu.

"Kami meminta kerjasama daripada semua pihak kerana mengambil masa untuk berbuat demikian. Kami sedia menerima laporan menerusi e-mel ([email protected]) berkenaan hal ini tanpa menyorokkan sebarang penemuan kelak.

"Jika pencipta hantaran itu serta individu lain berkenaan tampil bersuara, kami alu-alukan dengan terbuka. Kami mahu mendengar sendiri daripada mereka mengenai apa sebenarnya mahu disampaikan," kata kenyataan itu.

Agensi terbabit turut memohon maaf kepada sesiapa yang terkesan selain berjanji melakukan usaha terbaik mencapai jalan penyelesaian kes itu.

Pada masa sama, Keyeast meminta pihak tidak bertanggungjawab tidak mengeruhkan lagi keadaan buat masa ini.

"Selain daripada isu ini, kami dengan rendah hati memohon sesiapa juga supaya tidak membuat perkongsian atau menokok tambah mengenainya terutama bahagian yang belum mendapat pengesahan sahih," katanya.

Semalam, sebuah hantaran dimuat naik menerusi sebuah forum dalam talian menuduh Ji Soo seorang dalang keganasan di sekolah. Penulis terbabit menyatakan dia menghadiri sekolah sama dengan pelakon itu pada 2006 hingga 2008.

"Kim Ji Soo memiliki tubuh yang agak besar berbanding pelajar lain seusia dengannya ketika itu. Pada tahun kedua sekolah menengah pada 2007, dia berlegar di sekolah dengan penuh berlagak dan melakukan pelbagai perkara jahat.

"Apabila ada pelajar mencari pasal dengannya, semua gengnya akan memukul beramai-ramai pelajar terbabit. Mereka turut melakukan penghinaan dengan begitu teruk selain mencederakan pelajar lain," tulis individu berkenaan.

Tidak ketinggalan, dia sendiri turut mendakwa menjadi mangsa buli Ji Soo sewaktu berada di tahun ketiga persekolahannya. Lebih teruk, dia menjadi mangsa pulau, keganasan, ugutan, penghinaan dan bahasa kasar gara-gara pelakon itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:20 AM