Pasangan sensasi Son Ye Jin dan Hyun Bin
Pasangan sensasi Son Ye Jin dan Hyun Bin
Agensi

Seoul: Pasangan kegilaan, Son Ye Jin, 40, dan Hyun Bin, 40, bakal menimang cahaya mata sulung selepas Ye Jin mengumumkan dia hamil, semalam.

Pelakon siri Crash Landing On You (CLOY) itu berkata dia sememangnya cukup teruja namun masih berhati-hati pada masa sama dengan kehamilan terbabit.

"Hari ini saya ingin berkongsi berita gembira dengan berhati-hati. Kami bakal menerima orang baharu. Saya masih lagi terpinga-pinga sedikit, tapi boleh rasa perubahan pada badan setiap hari dengan keterujaan dan kerisauan.

"Seperti mana saya sangat bersyukur, saya juga rasa lebih berwaspada, jadi saya belum beritahu orang-orang terdekat. Sebelum terlambat, saya kongsi berita ini kepada peminat dan kenalan yang semestinya ternanti-nanti sebagaimana kami.

"Kami berjanji akan melindungi nyawa berharga yang hadir dalam hidup kami ini. Saya harap kamu semua juga sentiasa melindungi harta berharga dalam hidup serta jaga kesihatan," katanya.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac lalu. Upacara terbabit dilangsungkan tertutup di Grand Walkerhill, di sini yang cuma dihadiri ibu bapa mereka, saudara dan rakan terdekat.

Cinta mereka bersemi sejak Mac 2020 dan pernah bergandingan beberapa kali menerusi filem The Negotiation pada 2018 dan CLOY (2019-2020).

Hyun mula mencipta nama sejak 2003 menerusi sitkom Nonstop 4. Kemudian, dia menjadi kegilaan ramai selepas menjayakan siri My Lovely Sam-soon dan Secret Garden.

Ye Jin pula mencipta nama selepas membintangi filem Lover's Concerto dan The Classic. Dia turut popular menerusi filem A Moment to Remember.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 12:59 PM