HANNAH (dua, kanan) melancarkan "Play True Day" di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
HANNAH (dua, kanan) melancarkan "Play True Day" di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan hak penganjuran Sukan Sea 2027 di Malaysia masih menjadi teka-teki apabila pihaknya masih belum ada kata putus berkenaan perkara itu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ketika ini mereka masih di dalam perbincangan bersama pemegang taruh dan KBS sendiri dalam fasa mendapatkan lebih banyak informasi untuk Kabinet melihat kesan dari penganjuran temasya itu.

"Kabinet meminta KBS mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai penganjuran Sukan Se 2027 dan kita juga sudah mengadakan satu mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara.

"Saya juga akan berjumpa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memastikan kita memulakan perbincangan bagi melihat kajian impak kepada penganjuran. Perkara itu sedang berjalan dan saya tak mahu komen lebih lanjut," katanya kepada selepas Majlis Pelancaran Sambutan 'Play Ture Day' dan sesi ramah mesra menteri bersama warga kementerian dan pemegang taruh utama KBS, di Arena Axiata, hari ini.

Pada masa sama, KBS tidak ingin membuat keputusan terburu-buru berkenaan Malaysia bakal menjadi tuan rumah kerana pihak kerajaan mahu bajet yang diberikan itu digunakan sebaik mungkin.

"Kita tunggu KBS buat kajian dulu. Kalau saya kata kita mengalu-alukan, nanti jadi seperti kita sudah mengesahkannya (penganjuran Sukan Sea 2027).

"Sekarang ini untuk jemaah menteri, semua kertas kerja yang kita bawa, Kementerian Kewangan nak pastikan kita betul-betul membuat kajian terhadap impaknya.

"Kita tak nak (apabila) bentang, (kemudian) anjur dan selepas dua tiga tahun akan datang, kita kata duit tak cukup dan meminta tambahan (dana). Perkara sebegitu tidak seharusnya ada.

"Perdana Menteri mahu setiap kementerian itu betul-betul bertanggungjawab mengenai bajet yang ada dan kabinet sudah meminta KBS supaya memastikan kita memaklumkan kepada penganjur ataupun persatuan sukan supaya sebelum mereka membida apa-apa (kejohanan atau temasya) untuk pastikan dapat kelulusan KBS dulu," katanya.

Selain itu, Hannah juga memberitahu pihaknya tidak dapat menjangkakan bilakah keputusan status penganjuran itu dapat diumumkan memandangkan pihaknya masih dalam perbincangan awal.

"Saya tak tahu lagi kerana kita sedang adakan perbincangan awal dan saya akan kemaskini semula kepada kabinet selepas berjumpa dengan pemegang taruh termasuk badan korporat juga," katanya.

Untuk makluman, dua tahun lalu MOM mengumumkan yang Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-34 Sukan Sea pada 2027 dalam satu mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) di Hanoi, Vietnam.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea adalah pada 2017 dengan ketika itu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 5:57 PM