Meerqeen
Meerqeen
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon, Meerqeen, 22, sangat sibuk fokus terhadap rencana karier sehingga tiada masa baca komen atau ambil pusing namanya terpalit kontroversi berhubung kekasih gelap penyanyi, Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam berkata dia bahkan tiada apa-apa hendak di komen mengenai hal itu dan mahu berkongsi pasal pembabitannya dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

"Saya tiada apa yang mahu dikatakan ketika ini kerana semua datang ke sini untuk filem terbaharu saya, Harimau Malaya. Saya pun mahu fokus pada kerja saya," katanya ketika ditemui media pada sambutan Hari Raya anjuran 4ward Entertainment di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Rancak menjalani penggambaran drama Cinta Untuk Sekali Lagi kala ini, Meerqeen akui fokusnya tidak terganggu pun dengan kontroversi yang memetik namanya itu.

"Tiada komen mengenai ini, anda pun boleh nampak saya makan dengan gembira. Saya jujurnya tidak mengikuti perkara yang sedang berlaku sekarang ini.

"Sebab saya pun sedang menjalankan penggambaran drama yang agak 'intense' jadi sekarang saya lebih fokus pada kerja saya dan juga diri saya. Itu saja," katanya.

Meerqeen bahkan terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk sesiapa buat waktu sekarang akibat terlalu fokus dengan karier.

"Dengan keluarga saya pun dalam tiga atau empat jam sahaja. Keluarga saya tahu saya macam mana. Dalam industri ini saya hanya menjalankan kerja saya sebagai pelakon.

"Saya tak tahu apa yang orang katakan sekarang ini tapi saya tahu apa yang saya lakukan kerana yang penting adalah kerja dan keluarga saya," katanya.

Baru-baru ini, Meerqeen ada menyatakan Sarah adalah peminatnya. Namun Sarah menidakkan perkara itu dan mendakwa mereka pernah menjalinkan hubungan sekitar Ogos dan September tahun lalu.

Dalam pada itu, Meerqeen terlalu seronok dan mengakui corak bekerja pengarahnya iaitu Datuk Afdlin Shauki sangat menyenangkan.

Filem Harimau Malaya: The Untold Journey mengisahkan kebangkitan semula skuad Harimau Malaya selepas kemerosotan yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatihnya.

Selain Meerqeen filem ini turut dibintangi Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Nam Ron, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 5:46 PM