HANNAH ketika sidang media selepas melancarkan "Play True Day" di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
HANNAH ketika sidang media selepas melancarkan "Play True Day" di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Setiap persatuan yang ada di Malaysia ini mempunyai bidang kuasa penuh untuk memperuntukkan gaji kepada presiden atau jawatan yang mereka rasa sepatutnya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya tiada bidang kuasa masuk campur sebaliknya itu semua atas perbincangan antara mereka di dalam persatuan untuk menentukan perkara itu.

Malah apa yang lebih penting adalah persatuan sukan sendiri perlu mempunyai sumber kewangan yang kukuh jika mengambil tindakan untuk memberi gaji kepada jawatan tertentu.

"Terpulang kepada setiap persatuan sukan kerana setiap persatuan sukan komitmen dan tanggungjawab berbeza. Ada yang full time (masa penuh), ada part time (separuh masa) ada volunteer (sukarela). Yang ini bukan bidang kuasa menteri (KBS). Bagi persatuan sukan kendali kewangan mereka sendiri," katanya semasa Majlis Pelancaran Sambutan 'Play True Day' hari ini.

Perkara itu merujuk kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini didakwa mencecah RM90,000 sebulan dan tidak termasuk elaun daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Terdahulu Arena Metro melaporkan Hamidin menganggap persoalan tentang jumlah tangga gaji yang diperolehinya selaku Presiden badan induk itu bersifat peribadi dan ia tidak perlu untuk dikongsikan.

Bagaimanapun katanya, perkara pokok yang perlu difahami semua pihak adalah keputusan membenarkan Presiden FAM memperolehi gaji sudah diluluskan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi (Exco) badan induk itu ketika di bawah pentadbiran Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM sebelum ini.

Hamidin menegaskan, statusnya sebagai presiden sepenuh masa dan menerima beberapa faedah sudah ditetapkan ketika beliau dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018 bagi menggantikan Tunku Ismail yang ketika itu masih bergelar Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 5:48 PM