POSTER Calon PH dipasang di jalan Batang Kali-Kuala Kubu Baharu sempena PRK Dun Kuala Kubu Baharu. FOTO Saifullizan Tamadi
POSTER Calon PH dipasang di jalan Batang Kali-Kuala Kubu Baharu sempena PRK Dun Kuala Kubu Baharu. FOTO Saifullizan Tamadi
Fahmy A Rosli


Hulu Selangor: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan supaya jentera Kerajaan Perpaduan berkempen secara bersih dan berfakta.

Itu adalah nasihat Perdana Menteri yang ketika ini berada di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Forum Ekonomi Sedunia (WEF), untuk jentera Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, nasihat itu tidak lain bertujuan bagi menghindari penyelewengan fakta, provokasi dan memburukkan antara satu sama lain sepanjang kempen PRK berlangsung.

Beliau berkata, teguran itu penting bagi memastikan apa yang dicapai dan dilakar sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan berjaya disampaikan kepada pengundi di Dun berkenaan.

"Tentunya beliau juga meminta kempen dimulakan dengan bersungguh-sungguh untuk memberi fakta sebenarnya terhadap pencapaian dan kejayaan Kerajaan Perpaduan.

"Kita nak elakkan kempen kali ini daripada fitnah, memburukkan personaliti dan juga mengambil sikap melakukan penyelewengan fakta serta provokasi antara kaum.

"Biarlah kempen secara sihat," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, untuk PRK di Selangor, ia menyaksikan kerjasama yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi Dun Kuala Kubu Baharu.

Katanya, sudah pasti semua pihak harus sepakat meneruskan program yang disusun oleh penyandang sebelum ini demi memastikan Dun Kuala Kubu Baharu tidak jatuh ke tangan seteru politik.

"Saya percaya calon Pakatan Harapan (PH) Kerajaan Perpaduan akan bawa legasi dan meneruskan kesinambungan yang dibawa mendiang (penyandang).

"Justeru, kita harap pengundi di Kuala Kubu Baharu tidak mensia-siakan peluang untuk teruskan program yang disusun. Tak mahulah pilihan wakil yang tak boleh buat apa-apa.

"Kita tak mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) 'mayat'. Lepas jadi Adun terus hilang tak mampu berdepan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:15 PM