Son Ye Jin dan Hyun Bin
Son Ye Jin dan Hyun Bin
Agensi

Seoul: Pasangan kegilaan, Son Ye Jin, 40, dan Hyun Bin, 40, bakal menimang bayi lelaki yang dijangka akan dilahirkan pada Disember nanti.

Berita gembira itu diumumkan agensi Son Ye Jin yang turut memberitahu keadaan pelakon terbabit baik-baik saja.

"Jantina anak pasangan itu adalah lelaki. Dia bakal bersalin pada Disember. Son Ye Jin kini berada dalam keadaan yang sangat sihat. Dia tenang menunggu hari bersalinnya," maklum agensi itu.

Pada Jun lalu, pelakon siri Crash Landing On You (CLOY) itu berkata dia sememangnya cukup teruja namun masih berhati-hati pada masa sama dengan kehamilan terbabit.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac lalu. Majlis terbabit dilangsungkan tertutup di Grand Walkerhill, di sini yang cuma dihadiri ibu bapa mereka, saudara dan rakan terdekat.

Cinta mereka bersemi sejak Mac 2020 dan pernah bergandingan beberapa kali menerusi filem The Negotiation pada 2018 dan CLOY (2019-2020).

Hyun mula mencipta nama sejak 2003 menerusi sitkom Nonstop 4. Kemudian, dia menjadi kegilaan ramai selepas menjayakan siri My Lovely Sam-soon dan Secret Garden.

Ye Jin pula mencipta nama selepas membintangi filem Lover's Concerto dan The Classic. Dia turut popular menerusi filem A Moment to Remember.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 12:57 PM