DATUK Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
DATUK Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Upacara merenjis air atau 'menepung tawar' kenderaan dengan niat mahu menghindar daripada musibah termasuk kemalangan perlu dihentikan, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Ia berikutan tindakan itu adalah perlakuan sia-sia yang tidak berfaedah selain merupakan perbuatan membazir.

"Jika upacara itu disertai kepercayaan bahawa ia mampu menghindar musibah, penganiayaan manusia atau jin, maka hukumnya adalah haram.

"Menurut ajaran Islam, tiada yang memberi manfaat atau mudarat melainkan Allah SWT sahaja, jadi umat Islam dikehendaki memohon kepada-Nya sahaja bagi mendapat rezeki, kejayaan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Salim berkata demikian ketika mengulas mengenai video tular di media sosial memaparkan beberapa individu merenjis air terhadap sebuah kereta dipercayai bagi menghindar musibah dan dianggap warga net sebagai khurafat.

Wan Salim berkata, perbuatan itu perlu dihentikan juga jika niat bagi menghindari sesuatu keburukan atau kemudaratan.

Katanya, ia berikutan tidak berlaku sesuatu kejadian melainkan dengan ketentuan dan kehendak Allah SWT belaka.

"Bagaimanapun agama Islam menyuruh umatnya berikhtiar dan berusaha bagi melindungi diri daripada penyakit atau bahaya dengan mengelak sebab yang boleh membawa penyakit dan kemudaratan.

"Dalam sebuah hadis muttafaq 'alaih (Al-Bukhari dan Muslim), bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, 'tiada jangkitan penyakit (yang berlaku sendiri), tiada sial pada burung hantu dan bulan Safar'.

"Sesiapa yang percaya elemen ini boleh mendatangkan manfaat bagi dirinya atau dapat menyingkir kemudaratan terhadap diri, maka sesungguhnya dia sudah melakukan syirik kepada Allah SWT," katanya lagi.

Menurutnya umat Islam disaran supaya mengucap Bismillah dan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW selain berdoa kepada Allah SWT apabila ingin memulakan sesuatu amalan yang baik.

"Kemudian apabila dikurniakan rezeki yang halal dan kejayaan, hendaklah kita mengucap Alhamdulillah sebagai tanda bersyukur.

"Kalau buat sedikit jamuan kepada kawan rakan adalah lebih baik, semoga dengan demikian kehidupan kita diberkati dan sentiasa dimurahkan rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:24 PM