Ji Soo
Ji Soo
Agensi

Seoul: Agensi KeyEast memaklumkan tuduhan mengenai pelakon Ji Soo pernah terbabit jenayah seksual adalah palsu susulan kontroversi mengaitkannya pernah menjadi kaki buli di sekolah baru-baru ini.

Dalam kenyataan agensi itu, ada beberapa bahagian tuduhan yang tersebar adalah tidak benar dan berat sebelah.

"Kami sudah memeriksa kesahihan itu dengan Ji Soo sendiri di mana ada bahagian yang dia akui terbabit dan bahagian ditokok-tambah serta putar-belit. Justeru, kami sedang berusaha mengesahkan semua kebenaran.

"Kami ingin memaklumkan tuduhan mengenai keganasan seksual secara paksa yang dibuat adalah tidak benar sama sekali. Kami memohon maklumat sebegini yang berat sebelah tidak dijadikan bahan berita spekulasi," kata agensi terbabit.

Terdahulu, Ji Soo tampil membuat permohonan maaf susulan tuduhan mendakwa dia seorang kaki buli dan melakukan keganasan ketika bersekolah dulu. Ia selepas seorang individu yang mendakwa rakan sekelasnya tampil mendedahkan perbuatan lampaunya.

Individu terbabit turut mendakwa pernah menjadi mangsa bulinya. Insiden itu dilaporkan berlaku sekitar 2006 hingga 2008 lalu.

Disebabkan kontroversi itu, nama Ji Soo digugurkan daripada drama River Where the Moon Rises yang sudah ditayangkan sejak Februari lalu dan masih berbaki penggambaran. Tempatnya digantikan pelakon Na In Woo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 11:47 AM