Anggota APMM membuat pemeriksaan ke atas bot pancing dinaiki suspek. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Anggota APMM membuat pemeriksaan ke atas bot pancing dinaiki suspek. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat mematahkan cubaan empat lelaki tempatan menyeludup keluar pelbagai barangan subsidi termasuk 10 tong gas petroleum cecair (LPG) menggunakan bot pancing di perairan Kudat, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, empat lelaki berusia antara 19 hingga 33 tahun itu ditahan di lokasi tiga batu nautika dari perairan Marina Kudat selepas bot mereka dipintas anggota APMM yang menjalankan Op Pluto Timur.

Pengarah APMM Daerah Kudat Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 10 tong gas LPG, 51 kilogram (kg) minyak masak, bungkusan gula seberat 36 kg dan 80 kg tepung gandum yang dipercayai cuba diseludup keluar dari daerah itu ke negara jiran.

"Kita berjaya menahan sebuah bot pancing dinaiki empat lelaki di perairan itu selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek cuba menyeludup keluar beberapa barangan subsidi ke negara jiran," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua individu ditahan dan rampasan barangan dibawa ke Jeti Awam Kudat untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 6:06 PM