ANGGOTA APMM Zon Kudat memeriksa dokumentasi kapal yang dikesan berlayar tanpa kebenaran. FOTO Ihsan APMM.
ANGGOTA APMM Zon Kudat memeriksa dokumentasi kapal yang dikesan berlayar tanpa kebenaran. FOTO Ihsan APMM.
Juwan Riduan


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup petrol ke negara jiran, selepas menahan bot di 1.4 batu nautika tenggara Tanjung Layag-Layag, Pitas, semalam.

Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, pasukan ronda yang ketika itu sedang melakukan rondaan Op Pluto/ Op Tiris segera digerakkan sebaik menerima maklumat.

Katanya, apabila tiba di lokasi, anggota mengesan pergerakan bot yang mencurigakan, namun ia memecut laju menuju ke kawasan cetek apabula dihampiri.

"Pengendali bot terbabit dipercayai terjun daripada bot dan melarikan di kawasan hutan paya bakau berdekatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan 17 tong biru berisi petrol dianggarkan berjumlah 3,400 liter disyaki cuba diseludup ke Filipina.

"Bot serta barang rampasan bernilai lebih RM20,000 itu dibawa ke jeti Marina, Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan sebuah kapal kargo Landing Craft di kedudukan 0.2 batu nautika barat daya Lok Bon, Pitas pada hari sama.

"Penahanan itu hasil pengesanan daripada SWASLA Sabah berpandukan aduan Jabatan Laut Lahad Datu, menyatakan kapal itu telah meninggalkan lokasi tempat bersauh tanpa kebenaran.

"Ketika diperiksa didapati empat warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 52 tahun di dalam kapal," katanya.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 65 Ops 1952 (Port Clearance) kerana keluar belayar dari Lahad Datu tanpa memohon izin untuk belayar.

Selain itu siasatan juga mengikut Seksyen 300 (1) Sending Unseaworth Ship to Sea An Offence, Ops 1952 dan Seksyen 22 (2A), Certificate Of Registry kerana disyaki tidak memaklumkan penukaran nakhoda kepada pendaftar kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 4:29 PM