DUA lelaki Filipina yang ditahan ketika cuba menyeludup petrol dan diesel bersubsidi. FOTO Ihsan APMM.
DUA lelaki Filipina yang ditahan ketika cuba menyeludup petrol dan diesel bersubsidi. FOTO Ihsan APMM.
Juwan Riduan


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki Filipina yang cuba menyeludup keluar petrol dan diesel bersubsidi di muara Sungai Tambalugu, awal pagi tadi.

Mereka yang berusia 24 dan 50 tahun itu ditahan dalam operasi pada 2.50 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan.

"Bot pam tanpa nombor pendaftaran yang dikendali dua lelaki itu sarat dengan muatan yang mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menemukan barang kawalan yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

"Kedua-dua lelaki terbabit tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua tong biru berisi 400 liter petrol, 44 tong kecil berisi 1,320 liter petrol dan 30 liter diesel dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot bernilai RM24,000.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan jenayah di laut boleh menyalurkan ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 5:45 PM