TIGA bot pam membawa muatan 44 tong dram berisi petrol dirampas APMM di perairan Pitas. FOTO Ihsan APMM
TIGA bot pam membawa muatan 44 tong dram berisi petrol dirampas APMM di perairan Pitas. FOTO Ihsan APMM
Juwan Riduan


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol selepas menahan tiga bot pam dengan membawa muatan sebanyak 44 tong dram berisi bahan bakar berkenaan, semalam.

Ketiga-tiga bot pam ditemui terapung apabila pengendalinya dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai APMM di kedudukan 0.3 dan 0.2 batu nautika selatan Tanjung Pegasan, Pitas, jam 5.30 pagi.

Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak berdasarkan maklumat risikan, bot ronda Zon Maritim Kudat yang ketika itu sedang menjalankan rondaan Op Pluto Timur segera diatur gerak ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota APMM mendapati tiga bot terapung tanpa pengendali dipercayai sudah melarikan diri selepas menghidu kehadiran penguat kuasa APMM.

"Pemeriksaan mendapati bot pertama membawa muatan sejumlah 12 tong dram berisi petrol dan sejumlah 24 tong lagi ditemui di bot kedua.

"Sementara, pemeriksaan ke atas bot ketiga turut membawa kepada penemuan lapan tong dram juga berisi minyak petrol," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga bot berkenaan disyaki cuba melakukan aktiviti penyeludupan minyak petrol dari perairan Pitas ke Pulau Mangsi, Filipina.

"Bot serta barang rampasan dibawa ke jeti Marina, Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.

"Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM70,000," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 9:35 PM