Sejumlah barangan kawalan yang cuba diseludup keluar ke negara jiran. FOTO IHSAN APMM
Sejumlah barangan kawalan yang cuba diseludup keluar ke negara jiran. FOTO IHSAN APMM
Juwan Riduan


Kudat: Beras, baja dan gandum antara barangan kawalan berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat dalam serbuan bot di kedudkan 1.0 batu nautika barat laut Pulau Guhuan, Banggi di sini, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, operasi dilaksanakan pada jam 3 pagi selepas mengesan pergerakan bot mencurigakan yang bergerak ke kawasan perairan sempadan Filipina.

"Bertindak dengan maklumat risikan, bot ronda Zon Maritim Kudat yang sedang melaksanakan rondaan Op Tiris serta Op Khas Pagar Laut segera bergerak ke lokasi kejadian sebelum mengesan bot terbabit.

"Ketika cuba merapat untuk pemeriksaan, bot berkenaan cuba meloloskan diri dan enggan memberi kerjasama terhadap arahan diberikan pihak APMM," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, bot suspek kemudian berjaya dihentikan dan hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan tiga individu termasuk seorang warga tempatan dan dua orang warga Filipina berusia lingkungan 20 hingga 51 tahun.

"Pemeriksaan lanjut menemukan 120 guni dengan 50 kilogram bagi setiap guni beras bersubsidi, 200 guni masing-masing 25 kilogram setiap guni baja Uria, 209 kotak tepung gandum, 15 guni gula dengan 24 kilogram setiap guni dan 25 unit tong gas bagi 14kg setiap tong.

"Semua suspek bersama bot dan barang rampasan bernilai lebih RM180,000 ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan membawa keluar barang kawalan ke negara jiran tanpa permit sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana salah guna syarat lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 12:57 PM