DATUK Siti Nurhaliza tampil selaku penyanyi undangan.
DATUK Siti Nurhaliza tampil selaku penyanyi undangan.
PENAT lelah Azharina berbaloi.
PENAT lelah Azharina berbaloi.
AZHARINA diapit naib juara, Sarah dan pemenang tempat ketiga, Zarul.
AZHARINA diapit naib juara, Sarah dan pemenang tempat ketiga, Zarul.
Ridzuan Abdul Rahman


Melihatkan pada kehebatan persembahan setiap minggu, sukar untuk menjangka siapa antara Azharina atau Siti Sarah yang menjuarai Gegar Vaganza 3 (GV3).

Bagaimanapun, apabila Azharina diumumkan sebagai juara dalam program yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, malam kelmarin, semua pihak menerimanya dengan perasaan terbuka tanpa pertikaian.

Keputusan ini mengulangi sejarah pertembungan mereka 15 tahun lalu apabila penyanyi dari Sabah ini menjuarai pertandingan Bintang RTM 2001 yang turut membariskan Sarah sebagai seorang daripada peserta.

Bercakap pada sidang media, Azharina, 31, tidak lepas mengucapkan kesyukurannya apabila dinobatkan sebagai juara.

“Syukur rezeki ini milik anak saya, Rahmat Azharin Aziz yang kini berusia dua tahun. Saya hanya menjalankan apa yang direncanakan Allah. Pada saya, semua peserta yang bertanding hebat-hebat belaka. Syukur, saya berdiri dengan mereka yang terbaik,” katanya.

Menurut Azharina, GV3 memberikan pelbagai warna dan pengalaman baru dalam kariernya. Kemenangan yang diraih menjadikan penat lelahnya berbaloi.

“Dengan perhatian yang diberikan, saya akui sangat tertekan bertanding di pentas akhir. Bahkan saya demam sekejap sehingga terpaksa menerima rawatan rapi doktor dan diberi dua suntikan.

“Saya menggigil di belakang pentas kerana terasa sejuk. Tak tahulah apa sebabnya, tapi saya serahkan segala-galanya kepada Allah dan kuatkan semangat untuk bertanding.

“Tak dinafikan setiap minggu saya amat tertekan, tapi saya tak pernah terfikir untuk menang dan tak ambil peduli mengenai hadiah. Saya hanya nak menunjukkan bakat dan menjadi penghibur,” katanya.

Pada pentas akhir itu, Azharina menyampaikan lagu Izinkanlah dan Mama Aku Ingin Pulang dendangan asal Nike Ardilla.

Untuk persembahan ‘battle’ pula, dia bertarung dengan Sarah menyampaikan lagu Kesetiaan manakala Sarah pula menyampaikan lagu Azharina berjudul Seandainya.

“Sebenarnya tawaran untuk saya menyertai GV dibuat sejak tahun lalu, tapi saya tolak kerana Rahmat masih kecil. Tahun ini mereka tawarkan lagi dan saya setuju kerana niat nak jumpa kawan-kawan lama. Saya hanya pergi uji bakat untuk jumpa kawan lama dalam industri muzik.

“Mereka kemudian minta nombor telefon Sarah daripada saya kerana nak tawarkan dia juga. Selepas itu Sarah bertanyakan saya sama ada saya akan sertai GV. Katanya kalau saya pergi, dia tak nak pergi.

“Saya pujuk dia sertai kerana bukan nak kejar duit atau glamor macam dulu. Saya hanya nak ambil pengalaman dan belajar menghiburkan orang,” katanya.

Tambahnya, Sarah pergi ke sesi ujibakat ditemani suaminya manakala dia pergi sendirian.

“Kebetulan kami pergi hari yang sama. Dia dapat, tapi merahsiakannya daripada saya. Kemudian saya dipanggil Astro kononnya untuk satu projek dan diberikan kejutan layak bertanding.

“Bayangkan tekanan apabila kawan sendiri bertanding di sebelah saya, tapi kami positif anggap ini pertandingan yang sihat. Kami tetap kawan baik,” katanya.

Azharina berkata, selepas ini dia ingin berehat bagi menghabiskan masa dengan anaknya, namun jadualnya padat hingga Mac tahun depan.

“Semua tawaran ini diperoleh sebaik saya menyertai GV. Saya akan menjayakan konsert solo di Nusajaya Barat, Indonesia, Filipina dan pelbagai lagi tawaran.

“Saya juga akan menimbangkan jika ada tawaran berlakon. Sekiranya skrip menarik dan bayaran bagus, saya pasti akan menerimanya,” katanya.

Azharina yang memperoleh markah 82.4 meninggalkan pesaingnya, Sarah yang mengutip markah 76.3 untuk muncul sebagai naib juara.

Manakala tempat ketiga menjadi milik Zarul dengan markah 73.1. Tempat keempat dimenangi Ameng (54.3) diikuti Intan Sarafina (52.8) dan G-Mie (52.1).

Kemenangan itu membolehkan Azharina membawa pulang wang tunai RM100,000, menghasilkan sebuah single baru terbitan Astro, sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000, pakej percutian ke Itali bernilai RM15,000, rantai mutiara bernilai RM30,000, pakej penginapan di The Presidential Suite, The Puteri Pacific Hotel Johor Bahru dan baucar barangan tunai Go Shop bernilai RM6,000.

Sarah pula menerima wang tunai RM50,000 dan turut memperoleh sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000.

Dia turut mengungguli kategori Persembahan Pilihan Penonton menerusi undian SMS dan membawa pulang RM5,000.

Zarul pula menerima wang tunai RM30,000 dan sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000.

Selain itu, Ameng menerima wang tunai RM15,000, Intan Sarafina sebanyak RM10,000 dan G-Mie membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Mereka turut menerima trofi, pakej percutian, rantai mutiara dan baucar barangan tunai Go Shop.

Sarah syukur tak ‘tumbang’

Sarah bersyukur kerana keadaan kesihatannya memuaskan ketika membuat persembahan di pentas final, malam kelmarin.

“Syukur kepada Allah kerana dengan izinnya suara saya keluar. Ini adalah rezeki anak-anak saya. Ketentuan rezeki sudah ditulis menjadi milik Azharina. Saya sudah cuba yang paling baik dan puas hati dengan apa yang dibuat. Saya sangat emosi ketika lagu pertama kerana dapat menyanyi dengan baik pada persembahan pertama.

“Syukur pasukan saya banyak memberikan semangat untuk saya terus buat yang terbaik. Masa saya tumbang sebelum ini, suami saya benarkan saya tarik diri, tapi saya diberikan sokongan yang kuat untuk terus bertanding,” katanya.

Sementara itu, Zarul yang memenangi tempat ketiga gembira kerana percaturannya menyertai GV membuahkan hasil.

“Sebenarnya mula-mula saya teragak-agak juga nak masuk, tapi saya gagahkan juga. Ini adalah satu pengalaman baru kerana banyak input baru yang saya dapat untuk jadi penyanyi yang hebat.

“Saya belum buat keputusan sama ada nak fokus menyanyi atau tinggalkan karier dengan MAS. Saya masih ada cuti berbaki tiga minggu dan akan gunakan dua minggu terakhir untuk buat keputusan nanti,” katanya.

Lihat intelektual penyanyi dalam penjiwaan

Juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim juga berpuas hati dengan keputusan pada malam itu.

“Ini keputusan sebulat suara juri. Ketiga-tiga pemenang utama banyak menunjukkan peningkatan dalam persembahan. Pada saya dalam ‘battle’ apabila pesaing gagal menyanyikan lagu saingannya dengan baik, ia boleh membunuh artis itu sendiri.

“Kami juga melihat intelektual artis dalam penjiwaan dan kawalan. Ameng berjaya menyanyikan lagu Intan dengan baik seolah-olah lagu sendiri. Berbeza dengan artis lain yang agak sumbang apabila menyampaikan lagu,” kata Ramli.

Pengurus Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad Ramli juga meluahkan rasa puas hati dengan sambutan yang diterima menerusi program ini.

Konsert akhir GV3 yang turut bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD itu dibahagikan kepada dua segmen, persembahan solo dan battle.

Ameng menyanyikan lagu Romantis dan Bourgenvilla serta bertarung menyampaikan lagu Duhai Malam nyanyian Intan Sarafina.

Intan pula menyanyikan lagu Kemelut Di Muara Kasih dan Sedetik Lebih serta Sampai Hati manakala G-Mie menyanyikan lagu Bila Bulan Berwarna Biru dan Salam Terakhir serta Bukalah Hatimu.

Siti Sarah menyanyikan lagu I Will Always Love You dan Matahariku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:37 AM