RAMAI artis lama mahu sertai GV3 untuk kembali dikenali.
RAMAI artis lama mahu sertai GV3 untuk kembali dikenali.

Macam-macam program realiti dilahirkan dari mencungkil bakat baru hinggalah menyemarakkan kembali bintang lama di pentas pertandingan.

Tahniah buat Gegar Vaganza (GV) yang disifatkan paling cepat dan kuat pengaruhnya. Musim pertama mungkin kurang dirasai gegarannya tetapi masuk musim kedua, terus meningkat dan momentumnya terus mencanak pada musim ketiga.

Tahun ini GV3 membariskan 12 artis iaitu Ameng Spring, Intan Sarafina, Gmie Screen, Azharina, Razis Ismail, Shidee Data, Rem, Zur Eda, Elly Mazlein, Zarul Umbrella, Siti Sarah dan Nora.

Baru saja diumumkan senarai artis, timbul isu tidak puas hati daripada mereka yang dikatakan tidak berjaya dipilih. Ini juga menunjukkan betapa ramai artis yang lama menghilang menginginkan platform GV ini untuk kembali dikenali.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad mengatakan kriteria pemilihan peserta sama bagi setiap musim iaitu penyanyi mempunyai lagu hit selain mampu menyanyi secara ‘live’. Kali ini juga ada kuota tertentu yang perlu diberi perhatian.

Kalau kita lihat daripada senarai artis, bukan semuanya kuat dan hebat sebaliknya ada yang dipersoalkan bagaimana boleh dipilih.

Tapi itulah program realiti. Ada peserta diperlukan untuk meraih simpati penonton, ada pula kerana wajah cantik atau tampan, ada juga kerana kontroversi dan tentu sekali kerana kehebatan vokal.

Personaliti artis yang baik dan dihormati juga diharapkan untuk menarik perhatian penonton sebagaimana dapat dilihat pada Razis tetapi sayangnya mengakhiri perjuangannya minggu lalu.

Apabila perlu mengucapkan selamat tinggal selepas baru dua minggu berjuang, mungkin satu perasaan sedih bukan hanya buat peminat tetapi juga penyanyi itu sendiri.

Bagaimanapun, mung­kin juga penyanyi yang dikenali menerusi lagu Hadirmu Membawa Sinaran dan Kepulangan boleh menarik nafas lega apabila perjuangannya berakhir minggu lalu.

Melihat prestasi persembahannya selama dua minggu, ramai meramalkan artis pertama yang tersingkir adalah Razis Ismail dan tekaan itu ternyata benar.

Sejak dahulu Razis dikenali sebagai artis baik dengan personaliti sopan dan pemalu serta tutur kata yang lembut. Mungkin kriteria begini kurang sesuai untuk menyertai program pertandingan seperti GV.

Tapi jangan lupa, ini program realiti dan langkah penyingkiran ini sebagai satu strategi untuk melihat reaksi penonton. Jika ramai yang marah dengan penyingkiran penyanyi itu, tidak mustahil akan ada kejutan nanti.

Dilihat pula peserta lain, persaingan seperti ini bukan satu masalah buat mereka yang pernah menyertai pertandingan nyanyian seperti Anugerah Juara Lagu. Antaranya Azharina, Siti Sarah, Nora, Ameng atau mereka yang memang selalu menyanyi sama ada untuk acara makan malam dan juga di kelab malam.

Menyanyi memang kerja mereka tetapi bertanding dalam program begini tentu satu tekanan yang cukup berat. Tambah pula mengejar kemenangan besar untuk bergelar juara.

Harap Nora mampu bertenang kerana selepas dua minggu, penyanyi yang dikenali melalui lagu Di Persimpangan Dilema itu dilihat terlalu bersungguh hingga jelas dapat dilihat menerusi ekspresi wajahnya.

Nora tidak perlu risau dengan vokalnya yang memang semua tahu cukup mantap tetapi nikmatilah kemeriahan GV3 bersama rakan penyanyi lain. Ketepikan seketika tekanan di pentas pertandingan.

Malam ini siapa pula yang akan tersingkir? Dengan tema Ada Bran? Ameng mendapat lagu Lelaki Seperti Aku (Alif Satar), Azharina (No Woman No Cry/Bob Marley), Elly Mazlien (Perawan Atau Janda/Cita Citata), Gmie (Seni Berzaman/To’Ki), Intan Sarafina (Penantian/Black Rose), Nora (Sudah Ku Tahu/Projector Band), Rem (Penawar Rindu/Orchid Abdullah), Shidi (Mengapa Dikenangkan/Herman Tino), Siti Sarah (Joget Sayang Di Sayang/Anita Sarawak), Zarul (Generasiku/OAG) dan Zur Eda (Karma/Cokelat).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:07 AM