Peserta bersama juri. FOTO NSTP
Peserta bersama juri. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Teka-teki siapa peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketiga terjawab apabila 12 penyanyi diumum menyertai program itu di sini, hari ini.

Mereka ialah Azharina, Siti Sarah, Elly Mazlein, Zureda, Nora Ariffin dan Intan Sarafina.

Manakala enam peserta lelaki terdiri daripada Ameng Spring, Gmie SCREEN, Shidi DATA, Razis Ismail, Rem dan Zarul Umbrella.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad pemilihan 12 peserta ini adalah berdasarkan pembabitan mereka dalam industri.

"Kriteria pemilihan peserta masih sama seperti musim terdahulu yang mana mereka perlu ada sekurang-kurangnya satu lagu popular.

"Tidak dinafikan sejak awal uji bakat persaingan memang sengit. Ada antara mereka yang memang bagus dan ada daya tarikan tersendiri.

"Cuma kami lebih berhati-hati dan lebih teliti membuat keputusan. Disebabkan itu kami tidak menetapkan sebarang genre muzik sebagai kriteria wajib pemilihan. Semua perserta kali ini versatil," katanya.

Program GV3 masih mengekalkan dua pengacara popular Nabil Ahmad dan Jihan Muse manakala Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim kekal sebagai juri profesional.

Sama seperti dua musim terdahulu, GV3 tidak menggunakan khidmat penonton sebagai juri sebaliknya 100 peratus daripada juri profesional.

Program ini akan bersiaran di Astro Ria dan Ria HD selama lapan minggu bermula 16 Oktober jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 6:13 PM