SARAH
SARAH
Sudirman Mohd Tahir

Pembabitan penyanyi Siti Sarah, 32, dalam program realiti Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) diibaratkan sebagai peluang kedua untuknya menebus segala salah dan silap yang pernah dilakukan sebelum ini.

Sarah yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2003 menyifatkan apa yang terjadi sebelum ini baik dalam kerjaya mahupun peribadi berpunca daripada kelemahan diri sendiri.

“Diakui dahulu saya masih muda remaja. Ditambah dengan jiwa memberontak yang mahu mencuba semua perkara, tetapi akhirnya semua itu adalah kesalahan.

“Selepas berkahwin dan memiliki tiga anak, saya berubah menjadi wanita yang lebih matang. Daripada situ timbul kesedaran dalam diri. Jadi apabila terpilih dalam program GV3, saya menganggap ini peluang terbaik untuk bermula dengan sesuatu yang baru.

“Malah, keputusan berehat selama enam tahun sesuatu yang berbaloi buat saya. Apatah lagi selepas bersalin anak pertama dan kedua saya kehilangan suara,” katanya.

Diakui Sarah yang popular menerusi lagu Kesetiaan pernah melalui zaman kegemilangannya.

Sehinggakan lagu itu melayakkan Sarah mendapat pengiktirafan Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM 2003).

Selain itu, Sarah juga berjaya merangkul trofi bagi kategori Artis Wanita Popular dan Artis Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2003 (APM2003).

Populariti diraih Sarah ketika itu membawa kepada satu cerita kurang enak yang mendakwa dia dan penyanyi Misha Omar tidak bertegur sapa sehingga sekarang.

Namun Sarah yang pernah menyertai program One In A Million menjelaskan dia tidak pernah bermasam muka atau ada masalah dengan penyanyi lagu Bunga Bunga Cinta itu.

“Siapa kata kami bergaduh? Saya dan Misha tak pernah ada masalah. Pendek kata kami okey. Malah, dia ada meminta nasihat dan pandangan daripada saya sebelum bersalin tempoh hari. Jadi saya pun berkongsi pengalaman.

“Apabila selamat bersalin, dia ada berkongsi wajah anaknya. Bagi saya hubungan kami sentiasa baik. Mungkin ada beranggapan sedemikian kerana kami jarang dipertemukan dalam mana-mana program atau menjayakan persembahan bersama,” katanya.

Sarah tidak menafikan segala gosip mengenai hubungan mereka sebelum ini berpunca daripada sikap pihak lain yang cuba melaga-lagakan mereka.

“Dahulu saya menjawab apa saja yang ditanya pihak wartawan. Malah, saya tak ambil kisah pun apa kesannya. Pada masa sama ada pula batu api yang membuatkan perkara ini semakin tegang.

“Apabila orang sekeliling saling bercakap dan menyampai maka timbul salah faham. Hakikatnya, tiada masalah antara kami,” katanya.

Sarah yang pernah berentap dengan Misha dalam pertandingan akhir Bintang RTM 2001 berharap dapat berduet dengan penyanyi itu.

Berkongsi mengenai GV3, Sarah mengakui sudah bersedia fizikal dan mental.

Malah, Sarah berasa cukup bertuah apabila mendapat sokongan padu suami tercinta.

“Sejak kami berkahwin saya banyak memberikan sokongan dan membantu kerjayanya. Kali ini gilirannya pula. Dia sangat memahami dan sentiasa memberikan kata-kata positif.

“Walaupun stamina saya tidak seperti dahulu, saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Menerusi program itu, Sarah berentap dengan 11 penyanyi lain terdiri daripada Azharina, Nora, Elly Mazlein, Intan Sarafina, Zur Eda, Ameng Spring, G-Mie Screen, Shidi Data, Rem, Razis Ismail dan Zarul Umbrella.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 11:40 AM