Ahmad Bashah (kanan) tidak umum kerana mungkin ada pertambahan ganjaran. FOTO NSTP
Ahmad Bashah (kanan) tidak umum kerana mungkin ada pertambahan ganjaran. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memberi bayangan pemain Kedah bakal menerima ganjaran menarik berbentuk wang tunai, lawatan dan perlawanan persahabatan dengan pasukan luar jika berjaya memenangi Piala Malaysia Ahad ini.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, bagaimanapun pengumuman ganjaran kepada pemain itu termasuk penyokong setia Helang Merah yang akan turut menerima 'hadiah' hanya akan diumumkan sehari sebelum perlawanan itu nanti.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, melalui perbincangan dengan jawatankuasa pengurusan KFA berkaitan perlawanan akhir Piala Malaysia itu mencapai kata sepakat berkaitan ganjaran yang bakal diberikan kepada pemain.

"Saya tidak akan mengumumkannya terlebih awal kerana mungkin ada pertambahan dari segi ganjaran yang kita akan bincang dengan pihak pengurusan KFA sebelum membuat keputusan.

"Mungkin apa yang kita bincang pagi tadi akan ada pertambahan dan apabila kita umum nanti memberi suntikan semangat kepada pemain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darulaman, di sini, hari ini.

Menurutnya, ganjaran itu mungkin berbentuk wang tunai, lawatan dan perlawanan persahabatan dengan pasukan luar malah penyokong setia turut menerima sesuatu yang akan diumumkan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 6:39 PM