PENYOKONG yang menyambut kepulangan juara Piala FA, semalam.
PENYOKONG yang menyambut kepulangan juara Piala FA, semalam.
Aizat Sharif


Alor Setar: Habuan ‘durian runtuh’ RM20,000 kepada setiap pemain Kedah selepas merangkul Piala FA seperti dijanjikan oleh kerajaan negeri akan diberikan selewat-lewatnya sebelum Ramadan ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya sedang mengatur satu majlis pemain bersama Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai meraikan skuad Lang Merah yang memenangi piala berprestij itu.

“Insya-Allah, mungkin sebelum bulan puasa kami (kerajaan negeri) akan mengatur majlis bersama dengan Tuanku Sultan Kedah dan kerabat Diraja Kedah yang lain di Istana Anak Bukit sebagai meraikan kejayaan mereka memenangi piala ini.

“Namun, kami masih menentukan tarikh sesuai kerana pada majlis itu, kami bukan saja mengadakan jamuan tapi penyampaian ganjaran yang dijanjikan kepada pemain tempoh hari,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi ketibaan pasukan Kedah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya juga akan mempertimbangkan sama ada mengadakan atau tidak perarakan kemenangan Piala FA di sekitar Alor Setar bagi memperlihatkan Piala FA dan wira pasukan Hijau Kuning kepada penyokong setia pasukan itu.

“Kami juga mungkin akan mempamerkan Piala FA ini untuk tatapan peminat pada perlawanan Liga Super antara Kedah dan T-Team di Stadium Darul Aman nanti.

“Ini sebagai motivasi kepada pemain untuk memenangi perlawanan itu sebelum berhenti seketika bagi menghormati Ramadan dan ia juga memberi peluang kepada penyokong untuk melihat dengan lebih dekat piala berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar melihat kejayaan memenangi Piala FA sebagai satu permulaan pencapaian terbaik bagi pemangku jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

“Kami masih meneliti kedudukannya dalam pasukan Kedah dan hingga kini, beliau masih lagi sebagai pemangku jurulatih.

“Segala keputusan untuk melantik jurulatih bergantung kepada perbincangan pasukan yang akan diadakan nanti,” katanya.

Kedah menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam untuk menjuarai Piala FA kali keempat selepas kejayaan pada 1996, 2007 dan 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 10:23 AM