Juhasni Naini Junoh, 48, menunjukkan gambar adiknya, Juhazrie Junoh, 37, yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) Jalan Kota Bharu – Gua Musang, dekat Bukit Ah Kim, tengah malam tadi. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Juhasni Naini Junoh, 48, menunjukkan gambar adiknya, Juhazrie Junoh, 37, yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) Jalan Kota Bharu – Gua Musang, dekat Bukit Ah Kim, tengah malam tadi. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa

Kuala Krai: "Adik saya baru terima cahaya mata keempat dengan usia kurang 40 hari, isterinya juga masih berpantang," kata Juhasni Naini Junoh.

Juhasni, 48, adalah kakak kepada Juhazrie Junoh, 37,pemandu Toyota Hilux yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, tengah malam tadi.

Menurutnya, dia menerima berita kemalangan daripada seorang anak saudara dan terus bergegas ke hospital sebelum dimaklumkan bahawa adik bongsunya itu sudah meninggal dunia.

Katanya, berat hati mereka sekeluarga untuk memaklumkan berita ini kepada adik iparnya, Hariatul Laili Omar, 35, yang masih berpantang,

"Alhamdulillah, dia reda dan turut sama ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra sebelum dinasihati keluarga supaya pulang ke rumah terlebih dahulu.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Juhazrie pada malam kelmarin di rumah ibu kami kerana dia sekeluarga menetap di situ sambil menjaga ibu yang sudah berusia.

"Tiada perubahan yang ditunjukkan arwah cuma pada hari raya lalu, dia sangat gembira menyambutnya bersama keluarga.

"Saya dimaklumkan bahawa dia ke Perak atas urusan kerja bersama tiga lagi rakan dan dia memang seorang yang sangat sibuk kerana bekerja sendiri," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini, hari ini.

Juhasni berkata, adiknya seorang yang periang dan paling tegas dengan anak-anak saudara selain sangat bertanggungjawab dengan menjaga ibu, Asiah Ibrahim, 76, yang sudah berusia.

"Kami reda dengan ketentuan Illahi dan berharap agar isterinya terus kuat menerima ujian ini. Kami sekeluarga masih terkejut namun perlu terus memberi semangat kepada isteri dan anak-anak arwah yang masih kecil.

"Insya-Allah...selepas siap proses bedah siasat jenazah akan dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pek, Machang," katanya.

Sementara itu, Muhammad Afiq Anaqi, 20, anak kepada Mohd Anif Mat Jizi, 41, penumpang Toyota Hilux yang juga maut dalam kejadian itu berkata, dia menerima berita kemalangan membabitkan bapanya pada 2 pagi selepas diberitahu oleh ibu, Siti Fatimah Hassan, 39.

"Saya kemudiannya bergegas ke hospital bersama ibu sebelum diberitahu bapa meninggal dunia.

"Ibu pengsan beberapa kali dan turut menerima rawatan sebagai pesakit luar kerana terkejut dengan apa yang berlaku.

"Kami reda dengan takdir ini serta berharap agar urusan bedah siasat dapat selesai dengan segera dan saya berjanji akan menjaga ibu serta adik-adik dengan baik memandangkan saya adalah anak sulung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 3:41 PM