Ahmad Bashah yakin Kedah akan bergelar juara. FOTO NSTP
Ahmad Bashah yakin Kedah akan bergelar juara. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin pasukan Kedah mampu menjuarai Piala Malaysia 2016 bertemu Selangor pada Ahad ini berdasarkan prestasi dimiliki pemain.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, tahun lalu Helang Merah gagal membawa pulang piala itu namun tahun ini dengan doa peminat dan semangat pemain pasti mampu memenangi perlawanan akhir itu nanti.

"Saya juga berharap penyokong hijau kuning bersama-sama di Stadium Shah Alam nanti memberi sokongan supaya momentum pemain dari awal hingga akhir akan terus berjuang dengan semangat bagi mencari kemenangan.

"Penyokong juga dinasihatkan menjaga disiplin dan tingkah laku serta tidak membuat sesuatu yang boleh menjejaskan permainan pada malam itu (Piala Malaysia)," katanya ketika ditemui pada Sumbangan Sempena Sambutan Deepavali di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, penyokong juga diminta tidak membawa masuk benda-benda dilarang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana boleh menjejaskan KFA jika mereka berbuat sedemikian rupa.

Kali terakhir Kedah muncul juara Piala Malaysia pada 2008 selepas menewaskan Selangor dengan keputusan 3-2.

Terdahulu pada majlis itu seramai lebih 700 masyarakat kaum India di negeri ini menerima sumbangan sebagai persiapan menyambut Deepavali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 7:15 PM