Aizat Sharif


Kangar: Penahanan anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan lima individu lain oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tuntutan palsu tidak mengganggu perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Malah, isu sama pernah berlaku kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Aziz Nik Mat pada 2009 yang mana Allahyarham pernah sendiri disiasat oleh SPRM.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, situasi sama pernah berlaku pada Allahyarham pada 2009 apabila SPRM melakukan siasatan berhubung dakwaan penajaan mengerjakan umrah oleh seorang ahli perniagaan.

"Saya rasa begini, isu yang berlaku di Perlis ini tidak memberi kesan terutamanya kepada PRK Kuala Kubu Baharu terutama pada kempen PN kerana situasi ini pernah terjadi kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2009.

"Arwah disiasat kononnya ditaja oleh seorang ahli perniagaan untuk menunaikan umrah dan dalam hal ini, pendirian kita terbuka, PN juga boleh disiasat mengikut undang-undang, jika ada asas yang kuat tuduhlah di mahkamah," katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Dewan 2020, di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, ini bukankah satu 'tembakan peluru politik' kepada PN dan Pas kerana ada juga orang lain yang menghadapi pertuduhan sama.

"Namun begitu, saya mengharapkan SPRM terus bertindak secara profesional tanpa pilih 'bulu' atau 'fear of favour', jika ada kesalahan rasuah sama ada daripada kerajaan atau pihak lain kena ambil tindakan.

"Tidak boleh ada 'double standard' dalam hal ini, jadi saya masih percaya SPRM bertindak secara profesional dan harap ia dapat diteruskan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu di Perlis tidak sedikit pun menjejaskan tumpuan gabungan PN dalam menghadapi PRK.

"Saya ingat tidak, tiada apa... mood (perasaan) rakyat dengan sambutan (majlis Aidilfitri) hari ini memperlihatkan isu yang berlaku tidak mengganggu perjalanan PRK yang sedang berlangsung ini.

"Bagi kita begini, saya setuju dengan kenyataan Menteri Besar Perlis yang terbuka untuk SPRM membuka siasatan yang mana seseorang itu belum lagi bersalah selagi mana mahkamah tidak belum buat keputusan bersalah.

"Walaupun situasi yang berlaku ini nampak seperti mengganggu integriti Pas tetapi kita tetap profesional dengan Menteri Besar sendiri memberitahu bahawa pejabatnya sentiasa terbuka untuk sebarang siasatan dilakukan (oleh SPRM)," katanya.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama kedua-dua pemimpin kanan itu hadir dalam majlis yang julung kali diadakan di Perlis.

Hampir 1,000 orang hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 3:59 PM