KRASNIQI (kanan) diasak pemain Pulau Pinang dalam pertemuan kelmarin.
KRASNIQI (kanan) diasak pemain Pulau Pinang dalam pertemuan kelmarin.
Oleh Bashah Zainol Abidin

Alor Setar: “Kami mahu meraih tiga mata penuh berdepan Kuala Lumpur selepas gagal berbuat demikian pada dua perlawanan liga bertemu PKNS FC dan Pulau Pinang di Stadium Darulaman,” tegas tonggak utama Helang Merah, Liridon Krasniqi.

Menurutnya, kegagalan mencatat kemenangan dalam dua perlawanan lalu bukan kerana mereka gagal beraksi dengan baik tetapi kerana nasib tidak menyebelahi pasukan.

”Saya dan rakan sepasukan bertekad mahukan tiga mata penuh dan kami akan berusaha habis-habisan untuk mencapai matlamat ini dengan sokongan penyokong setia Kedah nanti.

“Memang kami sedikit kepenatan tapi itu bukan alasan kerana pasukan lawan juga mengalami keadaan sama.

“Sekalipun kekal di tangga teratas liga, ia akan lebih bermakna jika Kedah menang. Malah saya sendiri kecewa kerana kegagalan ini sekalipun sudah memberi yang terbaik di tengah padang,” katanya.

Menurut Krasniqi, dia dan rakan sepasukan tidak mahu lagi mengecewakan pengurusan pasukan dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi menjamin kejuaraan liga milik Helang Merah agar layak beraksi dalam Liga Super musim depan.

“Saya berdoa beberapa tonggak utama yang diserang demam panas kembali sihat agar kami dapat memberikan prestasi terbaik nanti.

“Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe sudah menyediakan ramuan terbaik bagi memerangkap Kuala Lumpur dan kami hanya perlu melaksanakan perancangan itu sebaik mungkin demi mencapai kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:15 PM