ANTARA penyokong Johor DT yang berada di Tajikistan.
ANTARA penyokong Johor DT yang berada di Tajikistan.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Dushanbe, Tajikistan: Menang atau kalah skuad bola sepak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tetap menerima durian runtuh daripada kerajaan negeri susulan kejayaan anak buah Mario Gomez melangkah buat pertama kalinya di pentas final Piala AFC sejak diperkenalkan pada 2004.

Menurut Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kesemua pemain dan pegawai bakal menerima habuan berbentuk wang insentif yang akan diumumkan kelak selepas berakhirnya aksi final antara kedua-dua pasukan berkenaan.

“Itu akan difikirkan nanti tetapi berada di peringkat ini dengan pencapaian sekarang sesuatu yang saya percaya sangat bersejarah bagi negara serta negeri. Ia memberi satu semangat dan lonjakan kepada sukan bola sepak seluruh negara dan negeri.

“Dan berasaskan itu, Insya Allah kalau mereka (Johor DT) berjaya memenangi ataupun sebaliknya, kita akan menimbangkan bentuk ganjaraan yang sesuai kepada pasukan berdasarkan pencapaian mereka.

“Saya ingat dalam bentuk wang ringgit, namun belum dimuktamadkan lagi. Kita tidak mahu hal ganjaran menyebabkan pemain memikirkan soal itu, apa yang penting adalah mereka mempunyai komitmen dan semangat untuk berjaya dan menang.

“Ganjaran hanya sebagai suatu tanda penghargaan rakyat dan negeri Johor di atas usaha dan pengorbanan mereka,” katanya ketika ditemui di Hotel Hyatt di sini, semalam.

Beliau tiba di Dushanbe petang kelmarin, yang turut diiringi oleh beberapa exco kerajaan negeri dan pegawai serta penyokong setia Harimau Selatan bagi memberi sokongan kepada pasukan.

“Mudah-mudahan dengan pencapaian itu, akan kembali mengukuhkan lagi minat rakyat kepada bola sepak untuk turut serta dalam sukan ini. Oleh sebab itu, kita perlu menghargai mereka kerana pasukan ini bukan setakat mewakili Johor tetapi juga Malaysia.

“Bagi saya, sumbangan pemain dan pegawai pasukan cukup besar. Malah, ia mampu menanam minat kepada rakyat secara tidak langsung sekali gus apat membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang kuat suatu hari nanti.

Sebelum ini, pasukan Johor DT pernah menerima ganjaran sebanyak RM25,000 yang diagihkan kepada setiap pemain dan pegawai pasukan selepas berjaya menjuarai Liga Super pada musim lalu sekali gus mengakhiri kemarau kejuaraan liga selama 24 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:04 AM