PEMAIN Terengganu FC meraikan kemenangan selepas berjaya menumpaskan pasukan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-2. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC meraikan kemenangan selepas berjaya menumpaskan pasukan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-2. FOTO Ghazali Kori
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pemain dan pengurusan Terengganu FC (TFC) akan menerima ganjaran berbentuk wang tunai selepas berjaya menewaskan Selangor pada perlawanan separuh akhir malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ganjaran itu dimaklumkan kepada semua pemain dan pengurusan dalam bilik persalinan sebelum turun ke gelanggang.

Katanya, kerajaan negeri bangga dan mengucapkan tahniah atas kejayaan TFC melakar kemenangan untuk melangkah ke pertembungan akhir Piala FA, selepas kali terakhir menjulang trofi itu pada 2011.

"Ketika memberi motivasi sebelum pemain melangkah ke padang, saya mengingatkan tiada sebab pemain mensia-siakan peluang beraksi di gelanggang sendiri.

"Saya meminta pemain untuk tidak melepaskan peluang mencipta kemenangan beraksi di hadapan pilihan ribu penyokong dan di gelanggang sendiri," katanya.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak negeri (PBSNT) berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat negeri, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Pada perlawanan di separuh akhir Piala FA malam tadi, anak buah Mohd Nafuzi Zain beraksi cemerlang apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Selangor 4-2 menerusi sepakan penalti selepas keputusan seri 1-1, pada aksi selama 120, termasuk masa tambahan.

Dengan kejayaan itu, TFC akan bertembung dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan akhir nanti.

Dr Ahmad Samsuri berkata, ganjaran wang tunai kepada semua pemain dan pengurusan bukan hanya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir, malah turut ditawarkan jika TFC berjaya membawa pulang Piala FA ke Terengganu.

Bagaimanapun, Dr Ahmad Samsuri tidak mendedahkan jumlah ganjaran diberikan kepada pemain dan pengurusan TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 3:57 PM