Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Penyokong setia Helang Merah Muhammad Rizam Saad, 34, sanggup menunggu dari jam 1 pagi tadi di depan kaunter tiket Stadium Darul Aman untuk menjadi pembeli pertama bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini.

Menurutnya, dia bersama empat rakannya datang dari Pendang, dekat sini, seawal jam 1 pagi dan terus menunggu sembilan jam untuk menjadi pembeli pertama.

"Saya dan rakan tidak berganjak dari tempat kami menunggu dan ternyata berbaloi apabila dapat menjadi pembeli pertama sebaik kaunter tiket dibuka.

"Kami akan ke Stadium Shah Alam Sabtu ini dengan menaiki bas ditempah khas pada pagi perlawanan untuk menyokong pemain Kedah," katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Darul Aman tadi.

Katanya, dia mensasarkan Kedah menang 3-1 bertemu Selangor nanti.

Lima kaunter yang dibuka dipenuhi kira-kira 10,000 penyokong setia bola sepak Kedah yang sanggup beratur bagi mendapatkan tiket itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:35 AM
Muhammad Rizam Saad menunjukkan tiket dibelinya bersama rakannya Arim Abdul Rahim, 42. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhammad Rizam Saad menunjukkan tiket dibelinya bersama rakannya Arim Abdul Rahim, 42. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi