JUNCO (kiri) beraksi 75 minit dalam aksi persahabatan menentang Kelantan Darul Naim FC malam tadi. FOTO Ihsan NSFC
JUNCO (kiri) beraksi 75 minit dalam aksi persahabatan menentang Kelantan Darul Naim FC malam tadi. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Ada beberapa kelemahan terutama dari segi skil persembahan individu yang perlu diperbaiki dan digilap lagi, tapi setakat ini prestasi pasukan dilihat semakin meningkat," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab Aziz.

Pengendali berusia 49 tahun itu mengulas keputusan tiga aksi persahabatan terkini yang dilalui skuad Hobin Jang Hobin membabitkan dengan pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim FC.

Negeri Sembilan tewas dalam kesemua perlawanan terbabit yang berlangsung di tempat lawan.

Azzmi berkata, walaupun keputusan perlawanan itu tidak memihak kepada pasukannya namun beliau berpuas hati dengan peningkatan prestasi pasukan dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain.

"Dengan Kedah walaupun tewas 2-0, tapi banyak perkara positif dicapai terutama dari segi persefahaman antara pemain, manakala dengan Kelantan juga ada peningkatan.

"Secara keseluruhan persiapan dan prestasi pasukan setakat ini amat memberangsangkan, dan setiap kelemahan yang ada ini akan diatasi sebelum saingan Liga Super bermula," kata Azzmi hari ini.

Pengendali yang mengambil alih tugas daripada K Devan yang tamat kontrak itu, turut lega dengan kemampuan penyerang import terbaharu, Mika Junco, selepas pemain dari Sepanyol itu mempamerkan aksi yang memberangsangkan ketika menentang Kelantan, malam tadi.

"Semalam (ketika menentang Kelantan), Mika diturunkan dalam tempoh 75 minit permainan dan dia berjaya menunjukkan skil persembahan yang baik terutama ketika melancarkan serangan.

"Bagaimanapun Mika sendiri akui memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan keserasian dengan pemain lain di bahagian serangan.

"Saya akan terus beri ruang kepadanya membentuk gandingan mantap bersama Takumi Sasaki atau pemain penyerang yang lain," kata pengendali kelahiran Ampang Selangor ini.

Menurut Azzmi, pihaknya merancang untuk mengadakan tiga lagi aksi persahabatan sebelum turun menentang Johor Darul Ta[zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Johor Bahru, pada 18 Mei depan.

"Sebaik berakhir aksi pramusim itu nanti, mungkin saya akan dapat memuktamadkan senarai kesebelasan utama pasukan kerana setakat ini masih dalam lingkungan 90 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 3:51 PM