JETAMA air minuman rasmi Sabah FC musim 2024 / 2025. FOTO IZWAN ABDULLAH
JETAMA air minuman rasmi Sabah FC musim 2024 / 2025. FOTO IZWAN ABDULLAH
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Syarikat konsesi air Sabah, Jetama Sdn Bhd (Jetama) menjadi penaja rasmi air minuman untuk saingan Liga Super pasukan Sabah FC pada musim ini.

Pengeluaran air minuman jenama 'Jetama' itu adalah perniagaan baharu syarikat berkenaan selepas sekian lama berkecimpung dalam aktiviti rawatan air untuk membekal air bersih kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Naim Uddang, berkata tajaan air minuman itu selaras dengan peranan Jetama sebagai penaja utama Sabah FC untuk saingan Liga Super musim ini.

"Jetama kini menjadi penaja utama rasmi pasukan Sabah FC bagi menghadapi musim baharu Liga Super 2024/2025 yang akan bermula bulan depan.

"Bola sepak adalah sukan yang paling diminati semua lapisan masyarakat sehingga timbul istilah 'makan bola, tidur bola, minum pun bola'.

"Keputusan penajaan ini dibuat secara kolektif dan ia adalah salah satu strategi untuk mengembangkan air minuman berbotol Jetama.

"Air minuman Jetama kini menjadi minuman rasmi Sabah FC dan selepas ini kita semua boleh lah 'makan bola, tidur bola, dan minumlah air Jetama'," katanya pada sambutan Aidilfitri Jetama, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dan beberapa pemain Sabah FC.

Ahmad Naim berkata, setiap pembelian air minuman Jetama adalah tanda sokongan kepada Sabah FC, selain terhadap pembangunan sukan di Sabah.

Pada 18 April lalu, Jetama memeterai perjanjian dengan Sabah FC bagi menaja skuad Sang Badak sebanyak RM5 juta sepanjang saingan Liga Super musim ini.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah itu menggantikan Sawit Kinabalu yang menjadi penaja utama Sabah FC pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 4:19 PM