Izzali Ismail


STADIUM Darul Aman bakal 'bergegar' apabila Kelab-Kelab Penyokong Bolasepak Kedah bakal melancarkan kempen kibar bendera dengan tema 'Seorang Penyokong Satu Bendera' sebagai tanda sokongan padu pada aksi Liga Super Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman pada 29 Mac ini.

Menurut jurucakap kepada Kelab-Kelab Penyokong Bolasepak Kedah atau dikenali sebagai G32, Mohd Safarizal Mohd Sobri, beliau menyeru semua penyokong membawa bendera berwarna hijau kuning masing-masing sebagai tanda semangat dan penyatuan seluruh penyokong Kedah dalam usaha membangkitkan aura memburu kemenangan.

"Kami mahukan pastikan Stadium Darul Aman 'bergegar' dan dipenuhi dengan aura penyokong Hijau Kuning yang membawa bendera pada malam itu dan kemeriahan ini merupakan langkah pertama yang diadakan pada awal musim ini,” katanya.

"Dengan usaha sokongan penuh semangat sebegini, kami yakin dapat membakar semangat semua yang hadir ketika menyokong dan seterusnya dapat memberi impak motivasi yang maksimum kepada semua pemain yang akan berjuang habis-habisan dalam memburu kemenangan di Stadium Darul Aman nanti.

"Selain memeriahkan perlawanan ini, ia juga sebagai perang psikologi kepada pasukan JDT, dimana kita nak tunjukkan bahawa penyokong Kedah memiliki semangat sokongan yang tinggi untuk pasukan Lang Merah.”

Safarizal turut memaklumkan pihaknya sudah berunding dengan pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan pembekal bendera untuk proses yang akan dilakukan pada hari perlawanan itu.

"Kepada penyokong yang tidak memiliki bendera, kita merancang supaya mereka boleh membeli bendera yang disediakan di kaunter pembelian tiket yang disediakan oleh pihak KFA dengan kadar 'diskaun' atau potongan harga yang menarik,” katanya.

"Penyokong Kedah dikenali sebagai antara penyokong yang teramai dalam Liga Malaysia selama ini, dan kami rasa inilah masanya kami dapat tunjukkan tahap sokongan yang konsisten di Stadium Darul Aman bermula dengan perlawanan menentang JDT nanti.

"Kami yakin semua pemain akan dapat melihat aura yang akan kami bawakan dalam memberi sokongan pada kali ini dan seperti yang kita tahu kejayaan menewaskan JDT adalah sesuatu yang sangat dinantikan oleh semua penyokong."

Merujuk kepada rekod kehadiran penyokong melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM, Stadium Darul Aman pernah mencatatkan jumlah penonton teramai iaitu sebanyak 75,000 penonton dalam tiga perlawanan aksi Liga Super pada musim 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 1:16 PM