KEADAAN trafik mula perlahan dengan jumlah kenderaan bertambah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran plaza tol Seremban setakat 5.30 petang tadi.
KEADAAN trafik mula perlahan dengan jumlah kenderaan bertambah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran plaza tol Seremban setakat 5.30 petang tadi.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Negeri Sembilan mengeluarkan 3,827 saman terhadap pesalah trafik sepanjang Op Selamat 9 dijalankan bermula 29 Jun sehingga Rabu lalu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Md Dali Wahid berkata, ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu hanya 1,640 saman dikeluarkan bagi tempoh sama pada Op Selamat 7, sempena perayaan Aidilfitri tahun lalu.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya merekodkan 525 kes kemalangan bagi tempoh lapan hari berbanding 522 kes tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak tiga kes.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kemalangan maut tidak mencatatkan perubahan iaitu sembilan kes bagi tempoh sama tahun ini dan tahun lalu.

"Kita (polis) meningkatkan rondaan dan pemantauan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan jalan utama di negeri ini bagi memastikan tiada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

"Malah, pengguna juga takut kesalahan mereka termasuk menggunakan lorong kecemasan diviralkan orang ramai. Setakat Rabu lalu, tiada saman dikeluarkan terhadap pemandu yang menggunakan lorong kecemasan," katanya selepas membuat tinjauan sempena Op Selamat 9/2016 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, arah utara di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 7:39 PM