MAZLAN menunjukkan peta kawasan yang sering berlaku kemalangan.
MAZLAN menunjukkan peta kawasan yang sering berlaku kemalangan.
Siti Nadzirah Che Mud

Kuala Krai: Sebanyak 12 lokasi panas dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini pada Op Selamat 9/2016 yang dilancarkan kelmarin hingga 13 Julai ini sempena Aidilfitri.

Antaranya Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Kilometer (KM) 12, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di KM58 hingga KM98, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di KM58 hingga KM91, Jalan Machang-Tanah Merah di KM4 dan Jalan Selising-Kok Lanas di KM2.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, bagi mengurangkan kemalangan di kawasan panas mahupun di lokasi lain, enam kaedah penugasan dilaksanakan termasuk melakukan rondaan, pemantauan kontinjen, Op Lancar, Berhenti dan Berinteraksi, Tindakan Penguatkuasaan dan Pasukan Respon.

“Bagi kawasan yang berlaku kemalangan, kumpulan Responsif akan membersihkan lokasi berkenaan bagi mengelak jalan sesak selain membuat pemantauan mengikut lokaliti.

“Pengguna juga boleh mengelak kesesakan dengan menggunakan laluan alternatif tanpa memasuki bandar Kuala Krai, sebaliknya terus ke simpang tiga Pahi dan Sungai Peria,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 9/2016 di KM75, Jalan Kota Baharu-Gua Musang, Pahi, di sini, kelmarin.

Mazlan berkata, pihaknya juga tidak akan bertolak ansur dan akan mengenakan tindakan tegas ke atas kesalahan yang menjadi penyumbang utama kemalangan.

“Ini termasuk memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Menurutnya, Op Selamat turut menekankan keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan dengan meningkatkan rondaan di kawasan perumahan.

“Pemilik kediaman dan premis diingatkan supaya memaklumkan kepulangan mereka ke kampung halaman kepada polis bagi memudahkan pemantauan dibuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:33 AM