BERNAMA

Kuala Berang: Polis Terengganu tidak akan berkrompromi dengan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan sepanjang Op Selamat 9/2016 bermula semalam hingga 13 Julai ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, polis akan bertindak tegas dengan mengeluarkan saman serta-merta kepada pesalah trafik.

Katanya dalam operasi berkenaan polis akan memfokuskan enam kesalahan utama pengguna jalan raya iaitu memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

"Kita juga akan menahan pesalah trafik jika mereka terbabit dalam kemalangan maut," katanya selepas majlis serah tugas di sini, hari ini.

Menurutnya, polis akan memantau beberapa jalan utama di daerah Kuala Terengganu, Besut dan Setiu yang lazimnya mengalami kesesakan ketara sepanjang musim perayaan.

“Bagi daerah Kuala Terengganu laluan dikenal pasti ialah Jalan Sultan Mohamad, Jalan Tengku Mizan, Bulatan Batu Enam dan Plaza Tol Kuala Terengganu (laluan keluar), bagi daerah Setiu melibatkan persimpangan Chalok dan persimpangan Guntung Luar," katanya.

"Di pekan Jertih dan atas jambatan Jertih akan dibuat laluan kontra dari arah Jertih ke Kota Bharu dan satu lorong dari arah Kota Bharu. Selepas Hari

Raya dua lorong dari arah Jertih ke Kota Bharu dan satu lorong dari arah Jertih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 11:17 PM