HAZIQ pamer aksi terbaik ketika berdepan Kedah. FOTO Ihsan Perak FC
HAZIQ pamer aksi terbaik ketika berdepan Kedah. FOTO Ihsan Perak FC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Aksi tangkas penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli dalam perlawanan pramusim ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC malam tadi termasuk menyelamatkan sepak penalti Sony Noorde di minit akhir perlawanan memberi harapan baharu kepada penyokong pasukan itu.

Dalam perlawanan berkenaan, jelas sekali pengalaman yang ada pada Haziq digunakan sebaik mungkin apabila dia berjaya membantu pasukan bimbingan Yusri Che Lah mencipta kemenangan 1-0 di Stadium Ipoh, Perak.

Meskipun itu hanyalah perlawanan persahabatan, namun dengan aksi yang begitu konsisten dan meyakinkan, peminat memberikan komen amat positif di media sosial Perak FC dan pasukan mereka musim ini mampu tampil lebih baik dari musim lepas.

Malah ada segelintir penyokong mengharapkan pihak pengurusan dapat mengekalkan terus Haziq di Perak FC.

"Keeper (penjaga gol) memang perform. Moga Perak jadi pencabar yang baik musim ini," kata Dia Syamin.

"Kalau Haziq main ok dekat Perak, tolong kekal dia terus di Perak," kata P.haris.

"Setakat ni masalah goalkeeper (penjaga gol) yang kita alami season (musim) lepas dah selesai. Tinggal di bahagian serangan pulak kita tengok macam mana," katanya Fitri.

Untuk makluman, Haziq adalah pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan dia akan berbakti bersama Perak FC untuk musim 2024/205.

Bekas penjaga gol Harimau Muda itu antara watak penting yang membantu Malaysia mendapatkan pingat Perak di pentas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dahulu dan sudah pasti, dengan pengamalan yang ada, ia amat ditagih oleh pengendali skuad berkenaan.

Sebelum ini, Yusri pernah memaklumkan posisi penjaga antara komponen yang akan diberikan perhatian bagi memastikan masalah musim lepas tidak lagi berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:26 PM