Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Terengganu menunjukkan peningkatan apabila seramai 204 mangsa dipindahkan setakat ini.

Kesemua mangsa daripada 74 keluarga itu ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu tiga di Kuala Nerus manakala satu di Kuala Terengganu.

Setakat jam 3 petang, Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Terengganu menjadi PPS terbaharu diaktifkan dengan jumlah mangsa dan keluarga yang terjejas sedang dikemas kini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, empat PPS yang dibuka secara berperingkat sejak pagi tadi adalah Dewan Serbaguna Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana dan SK Bukit Tunggal di Kuala Nerus dan SK Chendering di Kuala Terengganu.

Jumlah mangsa teramai direkodkan di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus membabitkan seramai 124 mangsa daripada 54 keluarga.

Ia diikuti PPS di SK Chendering membabitkan 40 mangsa daripada 13 keluarga manakala 36 mangsa daripada enam keluarga pula ditempatkan di PPS di Dewan Flat Batin Perdana.

Keadaan cuaca ketika ini hujan di beberapa tempat dan dijangka jumlah mangsa akan meningkat berikutan proses pemindahan sedang dijalankan.

Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, beberapa sungai direkodkan melebihi paras bahaya, amaran dan waspada.

Setakat jam 3 petang, paras air sungai di parit utama di Padang Kemunting di Kuala Nerus melepasi paras bahaya dengan bacaan 3.84 meter (m) berbanding paras normal 1.5 meter.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding 3.72m pagi tadi.

Di Setiu, paras air Sungai Chalok di Jambatan Chalok turut melepasi paras amaran dengan bacaan 8.26m berbanding paras normal 5m.

Satu lagi sungai iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu yang mencatatkan bacaan 16.53 m pula direkodkan melepas paras waspada. Ia menunjukkan peningkatan lebih tiga meter berbanding paras normal 13.3m.

Secara keseluruhan, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend peningkatan berikutan hujan yang masih melanda.

Seorang guru di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam mengutip buku yang hanyut selepas sekolah mereka  dinaiki air berikutan hujan lebat hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Seorang guru di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam mengutip buku yang hanyut selepas sekolah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 4:12 PM