ANTARA lokasi di Hulu Besut yang dinaiki air selepas hujan lebat pada 26 November lalu. FOTO Mohamad Ishak
ANTARA lokasi di Hulu Besut yang dinaiki air selepas hujan lebat pada 26 November lalu. FOTO Mohamad Ishak
Zatul Iffah Zolkiply


JUMLAH mangsa banjir di Terengganu kini meningkat kepada 542 mangsa daripada 143 keluarga sehingga 12 tengah malam tadi berbanding 31 mangsa daripada lapan keluarga, petang semalam.

Semua mangsa ditempatkan di 25 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu berbanding hanya satu PPS di Besut.

Menurut aplikasi info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 245 mangsa daripada 65 keluarga di 15 PPS manakala di Setiu, 32 keluarga membabitkan 151 mangsa ditempatkan di lima PPS.

Selain itu, 110 mangsa daripada 36 keluarga di tempatkan di empat PPS di Dungun manakala 36 mangsa daripada 10 keluarga masih ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2.

Sementara itu, dua sungai utama di Terengganu iaitu Sungai Nerus dan Sungai Chalok, Setiu mencatatkan bacaan pada paras bahaya manakala empat lagi sungai di daerah Hulu Terengganu, Marang dan Besut berada pada paras amaran.

Berdasarkan kemas kini di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di Sungai Nerus dekat Kampung Langkap, Setiu sudah melepasi paras bahaya iaitu 21.50 meter (m).

Selain itu, paras air Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu juga sudah melepasi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 8.78 meter iaitu peningkatan 0.38 m.

Tiga lagi sungai yang kini dilaporkan menunjukkan trend peningkatan sehingga kepada paras amaran adalah Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.33 m); Sungai Besut di Kampung La, Besut (20.83 m); Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (34.29 m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (19.99 m).

Keadaan ini dijangka berterusan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain hujan lebat melanda secara kerap melanda di kawasan terbabit sejak kelmarin.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 2:00 AM