Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 599 orang dengan Kemaman menjadi daerah terbaharu terjejas akibat bencana itu.

Setakat 8 pagi, kesemua mangsa daripada 154 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.

Malam tadi, seramai 308 mangsa daripada 85 keluarga berada di tujuh PPS di tiga daerah.

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, tiga PPS diaktifkan di daerah Kemaman bagi menempatkan 284 mangsa.

Kesemua mangsa daripada 68 keluarga itu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Dewan Abd Rahman Limbong dan SK Kampung Baru Kerteh.

Di Kuala Nerus, seramai 209 mangsa daripada 52 masih ditempatkan di dua PPS iaitu SK Tok Jembal dan SK Bukit Nanas.

PPS di SK Chendering dan SK Atas Tol di Kuala Terengganu masih dibuka bagi menempatkan seramai 60 mangsa daripada 20 keluarga.

Seramai 14 keluarga membabitkan 46 mangsa juga berada di tiga PPS di Setiu.

Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa daerah di Terengganu.

Sementara itu, dua sungai direkodkan melepasi paras amaran, manakala dua lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu, mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 20.42 meter (m) dan 13.08 m.

Selain itu, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu kini berada pada paras 17.85 m dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman dengan bacaan 17.7 m, melepasi paras waspada.

ANGGOTA  APM Terengganu melakukan cacatan jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal. FOTO BERNAMA
ANGGOTA APM Terengganu melakukan cacatan jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 8:54 AM