PENDUDUK berjalan meredah banjir di Kampung Chalok Kedai. Hujan berterusan sejak kelmarin. FOTO GHAZALI KORI
PENDUDUK berjalan meredah banjir di Kampung Chalok Kedai. Hujan berterusan sejak kelmarin. FOTO GHAZALI KORI
Zaid Salim


Setiu: Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, menjadikan lima PPS beroperasi bagi menempatkan 44 keluarga membabitkan 135 mangsa sehingga 4 petang hari ini.

Dua PPS yang baru dibuka adalah Masjid Kampung Gong Terap dan Merbau Menyusut, di sini, bagi menempatkan 90 mangsa banjir daripada 34 keluarga di dua kampung terbabit.

Berikutan itu, jumlah mangsa banjir di Setiu kini meningkat daripada 45 orang kepada 111 mangsa membabitkan 39 keluarga.

Di Kuala Nerus, mangsa banjir dipindahkan kekal iaitu 24 orang daripada lima keluarga ditempatkan di PPS SK Mengabang Telipot, Batu Rakit.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata, mangsa banjir di daerah ini dijangka bertambah dengan beberapa lagi PPS akan dibuka berikutan keadaan hujan berterusan sehingga kini.

"Berdasarkan keadaan hujan berterusan sehingga kini, kami jangka ada lagi mangsa akan dipindahkan dan beberapa PPS dibuka.

"Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan mengambil langkah awal dan segera berpindah bagi mengelak terperangkap dalam banjir," katanya.

Sementara itu, hujan lebat berterusan sejak kelmarin turut mengakibatkan beberapa sungai di negeri ini menunjukkan peningkatan paras air.

Berdasarkan laman web rasmi Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu sudah melepasi paras bahaya dengan catatan 9.57 meter (m) berbanding 8.40m (bahaya).

Tiga sungai iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak di Besut, Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu dan parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus sudah melepasi paras amaran.

Empat sungai di Besut, Setiu dan Marang berada pada peringkat kuning iaitu melepasi paras waspada.

Sungai Besut di Kampung La, Besut merekodkan bacaan 20.06m (paras waspada 19.80 m), Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu berada pada paras 19.59m berbanding 19.50 m (paras waspada) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit pula 10.91m.

Bacaan paras air Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang pula adalah 2.04m berbanding paras waspada 2.0m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 4:54 PM