Antara laluan yang ditutup di sekitar bandar Kuala Terengganu selepas dinaiki air akibat hujan berterusan sejak petang semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Antara laluan yang ditutup di sekitar bandar Kuala Terengganu selepas dinaiki air akibat hujan berterusan sejak petang semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Hujan berterusan sejak petang semalam menyaksikan paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend peningkatan.

Setakat jam 11 pagi, dua sungai melepasi paras amaran dan empat paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 20.13 meter (m) berbanding paras normal 17 m.

Turut melepasi paras amaran adalah Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dengan bacaan 1.95 m berbanding paras normal 1 m.

Sementara itu, dua sungai di Hulu Terengganu iaitu Sungai Tersat di Kampung Sekayu (19.98 m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping (18.28 m) direkodkan melepasi paras waspada.

Dua lagi sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu (7.5 m) dan sungai di parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus (3.51 m).

Sementara itu, beberapa jalan, kawasan perumahan dan sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dinaiki air sejak pagi tadi susulan hujan berterusan sejak petang semalam..

Antara laluan yang terjejas adalah seperti Jalan Kamarudin, Jalan Sultan Omar dan Jalan Gong Kapas di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di enam lokaliti di Terengganu hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan kawasan itu membabitkan Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 11:40 AM