AHMAD Maslan. FOTO Arkib BERNAMA
AHMAD Maslan. FOTO Arkib BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Pontian: Isu utama di enam negeri yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, dijangka akan menjadi intipati ucapan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, bermula Rabu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu utama termasuk masalah air di Kelantan dan dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, dijangka menjadi antara yang akan dibincang dan didebatkan.

Ahmad yang juga bekas Setiausaha Agung Umno berkata, isu utama di enam negeri yang difokuskan dalam ucapan perwakilan nanti akan memberi idea kepada ahli Umno untuk memperhebat jentera dan strategi ketika berkempen pada PRN.

"Wakil daripada Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh dan amat digalakkan supaya membangkitkan isu yang dihadapi di negeri mereka.

"Kelantan contohnya, isu air yang tak berkesudahan. Di Kedah pula, dakwaan mereka ingin mengambil Pulau Pinang. Dua contoh ini boleh dibawa oleh perwakilan pada PAU 2023 di samping memperincikan isu-isu lain yang membelenggu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis kenduri sekampung di Kampung Permatang Duku, Benut, di sini, malam tadi.

Isu air di Kelantan yang masih membelenggu negeri itu semakin hangat dilaporkan media kebelakangan ini dengan kerajaan negeri mengemukakan permohonan RM8 bilion peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi isu itu.

Sebelum ini, media turut melaporkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan berikutan Pulau Pinang masih hak Kedah.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini dilaporkan menetapkan tarikh PAU 2023 daripada 7 hingga 10 Jun ini.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, perhimpunan agung itu diadakan lebih awal berbanding kebiasaan, sebelum jentera parti turun padang berkempen untuk PRN di enam negeri nanti.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap PAU 2023 dapat dimanfaatkan sayap parti bagi merangka strategi menarik pengundi muda atau baharu menghadapi PRN.

"PAU kali ini perlu dijadikan medan pembuka gelanggang kepada PRN. PAU yang diadakan lebih awal daripada PRN itu akan memberikan lebih banyak ruang kepada Umno untuk bersedia bagi menghadapi PRN yang dijangka berlangsung sengit kali ini.

"Umno sebagai antara parti utama yang menganggotai Kerajaan Perpaduan perlu membantu memenangi calon-calon yang bertanding bagi memperkukuhkan lagi kerajaan gabungan 19 parti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 1:48 PM