AHLI Umno yang hadir pada PAU 2022. FOTO arkib NSTP
AHLI Umno yang hadir pada PAU 2022. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan berlangsung minggu depan perlu dijadikan platform terbaik mencari titik noktah terhadap perselisihan faham antara ahli dalam isu sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Umno Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, penjelasan perlu dibuat pimpinan tertinggi Umno kepada semua perwakilan parti yang hadir supaya 'mata hati' mereka terbuka luas, tidak lagi ragu-ragu dan berlapang dada menerima keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan.

"Adalah sebaiknya juga jika satu ketetapan dapat diputuskan dengan suara majoriti perwakilan untuk membawa usul dan menyokong penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan.

"Hanya dengan cara ini saja dapat menutup mulut golongan pengacau dalam Umno yang tak habis-habis memperlekehkan keputusan parti bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

"Nasihat saya, yang sudah-sudah itu biarlah berlalu dan kita kena reda dengan segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan. Sekarang ini adalah masanya untuk menghentikan segala perselisihan dalaman dan kita kena tumpukan kepada usaha untuk memperkasakan kembali Umno," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini dilaporkan menetapkan tarikh PAU 2023 dari 7 hingga 10 Jun depan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, perhimpunan agung itu diadakan lebih awal berbanding kebiasaan, sebelum jentera parti turun padang berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Ketua Umno Bahagian Tebrau berkata, jika ahli dan pemimpin Umno terus bercakaran sesama sendiri, dibimbangi kekuatan parti tidak dapat dikembalikan.

"Jika berterusan begini tak mustahil anak muda akan makin jauh meninggalkan Umno dan tak berminat lagi untuk mendekati parti keramat ini. Fikir-fikirkanlah," katanya.

Abdul Halim berkata, penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan adalah strategi terbaik untuk membina semula kekuatan parti seterusnya menang pertempuran dalam PRN selain pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Justeru katanya, Umno perlu bekerjasama dengan semua parti dalam PH sama ada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk saling membantu dalam meraih undi penyokong masing-masing.

"Sebenarnya semua parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan memang saling mengharapkan satu sama lain jika mahu menang pada pertempuran enam PRN nanti. Kemenangan besar itu nanti boleh dijadikan senjata ampuh Umno dan Kerajaan Perpaduan untuk menang PRU-16," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 12:44 PM