AHMAD Zahid pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
AHMAD Zahid pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan sama ada membenarkan rakan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan bertanding menggunakan lambang parti gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"… kita tidak menolak jika ada parti-parti lain dalam kesepakatan Kerajaan Perpaduan, jika mereka berhasrat untuk menggunakan lambang BN, namun ia belum dimuktamadkan.

"Hasrat itu ada (parti guna lambang BN) tetapi belum dimuktamadkan," kata Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno.

Bagaimanapun, beliau berkata, Dewan Tertinggi BN sudah memutuskan calon BN akan menggunakan lambang BN pada PRN.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, BN sedang mempertimbangkan hasrat parti bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan lambang dacing pada PRN akan datang.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 3:43 PM