Kuala Lumpur: Kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan Pas wajar ditamatkan.
Ia antara yang disuarakan perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno (Pau) 2021 hari ini.
Perwakilan Terengganu, Bazlan Abd Rahman berkata MN kini dilihat hanya tinggal nama apabila Pas dilihat tidak bersungguh memperkasakan gabungan itu.
Menurutnya, tidak guna Umno meneruskan kerjasama itu sedangkan Pas dilihat sudah beralih arah dengan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) dalam dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Umpama bunga tanggal kelopak, ibarat madu habis manisnya. Hilang tidak dicari, sakit tidak diubati, habis tidak diganti.
"Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Pas dilihat seperti Umno yang menyebabkan MN retak menanti belah," katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden dalam Pau 2021 di Pusat Dagangan Dunia di sini.
Ketika berucap juga, beliau turut berkongsi pengalaman kerjasama MN antara dua parti itu di Terengganu.
Katanya, desakan turut disuarakan akar umbi agar kerjasama ini ditamatkan segera.
"Tidak perlu meneruskan kerjasama jika orang sudah tidak sudi. Keputusan paling tepat adalah menamatkan segera kerjasama MN," katanya.