Khairulmizan Yahya


Kuantan: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan hanya ahli parti itu, komponen Barisan Nasional (BN) dan 'Friends of BN' yang akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 pada 11 hingga 14 Januari ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi memberi ruang kepada Umno dan parti komponen BN menyelesaikan isu dalaman parti bersama enam 'Friends of BN'

"Kami membuat keputusan bahawa PAU (2023) kali ini hanya antara parti komponen sahaja. Nak selesaikan perkara berkait Umno dan BN sahaja.

"Bukan sahaja parti lain, malah duta asing yang sebelum ini kita jemput...juga tidak dijemput. Setakat ini, itulah keputusan," katanya ketika sidang media di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir memberi penerangan mengenai isu terkini negara kepada 1,309 pimpinan Umno di setiap bahagian seluruh negeri ini.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, MKT Umno masih belum memutuskan bentuk kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Diana Danielle
Diana Danielle

"Kita bekerjasama bentuk Kerajaan (Perpaduan). Kerjasama parti bagi menghadapi PRN belum diputuskan.

"Kita bincangkan kemudian. Dari segi (perbincangan) pucuk pimpinan parti belum ada mesyuarat antara BN dan parti lain (bagi menghadapi PRN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 7:08 PM