Mohd Amin Jalil


Seremban: "Good Luck, suatu kenyataan yang baik," kata Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, tidak salah bagi seorang presiden parti menyatakan tekad hendak mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau mendakwa rakyat di tiga-tiga negeri itu juga sudah membuat tekad siapa yang akan mereka pilih pada PRN nanti.

"Tidak salah, beliau membuat kenyataan itu, di Kelantan pun, (Umno) berikrar merampas Kelantan selama 30 tahun, tapi tiap-tiap kali pilihan raya, kalah juga.

"Jadi, (PRN) yang ini pun insya-Allah akan kalah juga. Namun pada saya itu tugas dia (Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dalam ucapan, kerana itu tempat orang menyedapkan hati masing-masing.

"PAU (Perhimpunan Agung Umno) terkenal satu perhimpunan untuk iaitu dalam bahasa kasarnya jilat menjilat, tak apalah, saya hormati kerana itu hak dia untuk memberikan keyakinan kepada ahli-ahli dia," katanya selepas Majlis Town Hall MN Peringkat Negeri Sembilan di sini, lewat petang tadi, yang turut hadir Timbalan Presiden MN Datuk Zuraida Kamaruddin.

Annuar memberi reaksi itu mengulas ucapan Ahmad Zahid pada PAU 2023 yang menegaskan tekad Umno bersama rakan dalam Kerajaan Perpaduan mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam PRN akan datang.

Ahmad Zahid juga menegaskan usaha dibuat bagi memecahkan tembok penguasaan pihak lawan di Kedah, Terengganu dan Kelantan yang kini di bawah Perikatan Nasional.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan MN akan kekal sebagai sebuah badan bukan kerajaan, bukan parti politik dan tidak akan menyertai pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 9:59 PM