POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan PDRM
POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman dan pukul di kepala di kawasan asrama sebuah kilang di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat berhubung kejadian pergaduhan membabitkan beberapa lelaki warga Myanmar jam 11.53 malam.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian menemui seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah.

"Mangsa ditemui dengan kesan tikaman dan pukul di bahagian kepala dan mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan juga mendapati seorang lagi lelaki warga Myanmar cedera di bahagian pinggang dan kepala kini sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Beliau berkata, polis menahan seorang lelaki Myanmar berusia 40-an dengan bantuan Unit Anjing Pengesan tidak lama kemudian.

"Susulan itu, polis menahan lima lagi rakan senegaranya berusia antara 20-an hingga 40-an," katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan masih bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati," katanya.

Wan Azharuddin berkata, setakat ini motif punca kejadian akibat mabuk kerana sebelum ini mereka dipercayai minum bersama sebelum berlaku perselisihan seterusnya berlaku pergaduhan.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Asisten Superintendan Siti Anim Arifin atau balai polis berhampiran atau IPD Kuala Muda di talian 04-4299222.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 4:53 PM