AHMAD Zahid bersama barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno pada PAU 2023 di WTCKL. FOTO Bernama
AHMAD Zahid bersama barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno pada PAU 2023 di WTCKL. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Umno sentiasa bersikap terbuka untuk menerima kembali ahli-ahli parti itu yang sebelum ini dikenakan tindakan disiplin, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, penerimaan kembali ahli-ahlinya selepas disarankan perwakilan parti itu sepanjang empat hari Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023.

Beliau dalam masa sama berharap agar mereka yang sebelum ini pernah digantung oleh parti itu tidak berkata-kata buruk mengenai Umno.

"Kalau benar-benar orang parti, tidak berkokok sana sini menghentam parti dari luar. Betul?

"Kalau benar sayangkan parti, mereka harus akur bahawa apa yang pernah diperlihatkan oleh Datuk Lokman Noor Adam itu diikuti oleh mereka.

"Datuk Lokman Noor Adam walaupun dipecat daripada parti, beliau tidak pernah menikam parti dari luar," katanya semasa ucapan penggulungan PAU 2023 di Dewan Merdeka hari ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai pembahagian kerusi dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi, Ahmad Zahid melahirkan keyakinan mereka akan memuktamadkan perkara itu.

Beliau juga menaruh keyakinan bahawa parti itu akan memperoleh jumlah kerusi yang sepatutnya dan melebihi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Insya-Allah kita akan memperoleh jumlah kerusi yang sepatutnya dan melebihi PRU yang lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 8:11 PM