Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra dan  bergambar bersama mahasiswa pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan majlis Mahasiswa Anak Pahang di Dewan Tun Razak PWTC. FOTO - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra dan bergambar bersama mahasiswa pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan majlis Mahasiswa Anak Pahang di Dewan Tun Razak PWTC. FOTO - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
Mohammad Asyraf Khalib

Kuala Lumpur: Kerajaan Pahang meraikan lebih 2,000 mahasiswa universiti dari negeri itu dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Sabtu.

Acara seumpama itu dianjurkan kali kedua selepas 10 tahun bersama Majlis Mahasiswa Anak Pahang (Mampan) di Semenanjung Malaysia, yang memberi peluang kepada mahasiswa terbabit meluangkan masa bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Dalam ucapannya, Wan Rosdy memuji peranan Mampan yang berupaya melahirkan bakat dan pemimpin masa depan untuk berkhidmat kepada negara sejak penubuhannya pada 6 November 1999.

"Pelbagai program anjuran Mampan memberi impak besar kepada mahasiswa sebagai panduan dan memberi pengalaman.

"Saya yakin Mampan mampu menjadi pertubuhan pelajar yang berkesan dalam melahirkan modal insan berkualiti," katanya.

Wan Rosdy turut memberi penghormatan kepada Yayasan Pahang yang menawarkan biasiswa, pinjaman pelajar dan geran kepada institusi pengajian tinggi.

Tambahnya, yayasan itu turut menyediakan 2,000 peluang pekerjaan setiap tahun melalui program jaminan kerja dalam sektor teknologi maklumat serta program marin dan keusahawanan pesisir luar bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar Pahang.

Dalam majlis sama, tiga mahasiswa dinobatkan sebagai Ikon Siswa Pahang 2023 atas kecemerlangan akademik di institusi pengajian masing-masing.

Mereka adalah Nor Hazelin Hazman dari Universiti Utara Malaysia, Liyana Nur Hazirah Mohamad Noor Azman dari Kolej Universiti Yayasan Pahang dan Muhammad Alif Syafiq Mohamed Ismail dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. 

Masing-masing menerima sijil kecemerlangan, plak dan wang tunai sebanyak RM2,000. 

"Kami berharap pengiktirafan itu akan menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa lain untuk terus meraih kecemerlangan dalam pelajaran," kata Wan Rosdy. 

Beliau turut mengumumkan kenaikan bantuan kewangan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa daripada RM200 kepada RM300, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8.9 juta. 

Tahun lalu, seramai 15,637 mahasiswa menerima manfaat daripada bantuan tunai RM200 itu.

"Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban mahasiswa untuk membeli keperluan asas," katanya.

Wan Rosdy turut meluangkan masa beramah mesra dengan mahasiswa berkenaan dan menyampaikan bantuan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa. 

Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi peluang kepada mahasiswa mengemukakan pertanyaan mereka kepada menteri besar.

Majlis yang dianjurkan bersama Yayasan Pahang itu menyaksikan pelbagai jenis makanan serta juadah menarik dihidangkan kepada mahasiswa berkenaan serta tetamu turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada artis tempatan. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 8:57 PM