Nur Azre (kiri) mengendalikan forum panel bersama wakil rakan kerjasama ketika Dialog Bersama Usahawan Mikro 2023. - FOTO Shaikh Mohd Affiz Shaikh Abd Kadir/Kunang Pictures Group Sdn Bhd
Nur Azre (kiri) mengendalikan forum panel bersama wakil rakan kerjasama ketika Dialog Bersama Usahawan Mikro 2023. - FOTO Shaikh Mohd Affiz Shaikh Abd Kadir/Kunang Pictures Group Sdn Bhd
Muhamad Shaifullah Tayep

Kuala Lumpur: Platform hiburan, TikTok menerusi TikTok Shop bekerjasama dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi membantu 30 usahawan mikro memulakan penerokaan e-dagang.

Hasil daripada TikTok Shop 11.11 LIVE Showdown digunakan bagi menyokong inisiatif TikTok Shop ini, selain diharapkan ia dapat meningkatkan kemajuan pemilik perniagaan secara dalam talian dengan menyediakan kedai digital dan audiens di seluruh negara.

Program ini juga diadakan untuk usahawan mikro dan menyediakan modal awal yang diperlukan, sokongan agensi kerajaan dan insentif pembangunan yang akan memulakan dan membangunkan perniagaan mereka di TikTok Shop.

Ketua Perhubungan Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata TikTok Shop komited untuk memberi impak sosial dan ekonomi yang bermakna bagi menyokong perniagaan mikro dan kecil di Malaysia.

"TikTok Shop bersetuju untuk memberi sokongan serta sumbangan dalam bentuk pendidikan, kit permulaan sumbangan Zucca, Hanami, The Raw, Blanco Fragrance, ZUS, dan BROS, selain sedikit modal perniagaan dan insentif pemasaran.

"Menerusi kerjasama ini, kami akan terus berusaha untuk menyumbang ekonomi digital sihat dan terangkum yang memperkasa usahawan mikro Malaysia di seluruh negara," katanya ketika berucap di SkyArena Sports Complex, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Ketua Pembangunan Ekosistem Peniaga TikTok, Mun Wei Siew, Ahli Parlimen Wangsa Maju dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Zahir Hassan, Ketua Pemasaran Digital & E-Dagang, Kelvin Sharman serta penjual dan pencipta kandungan TikTok Shop, Budok Kelate.

TikTok Shop juga bekerjasama dengan Unifi, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dan MDEC untuk menyediakan insentif kepada penjual dan pelan rangsangan yang akan membantu usahawan mikro meningkatkan dan memastikan perniagaan mereka mampan bagi menjayakan Dialog Bersama Usahawan Mikro 2023.

Nur Azre berkata, setakat ini TikTok Shop bekerjasama dengan lebih 50 agensi kerajaan, persatuan, universiti dan komuniti bagi memperkasakan ekonomi digital.

Katanya, sebanyak 40 peratus daripadanya adalah usahawan luar bandar dan secara keseluruhan, 98 peratus usahawan di TikTok Shop merupakan peniaga daripada industri kecil dan sederhana (IKS).

"Ini membuktikan komitmen TikTok Shop terhadap usahawan tempatan kerana kami percaya, sesiapa pun yang ada kemahuan untuk menjana tempatan, kami ada jalannya insya-Allah dari semua sudut kehidupan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama ini meneguhkan komitmen TikTok Shop dalam menyokong usahawan mikro tempatan.

"Dedikasi kami terhadap usaha untuk memperkasa perniagaan tempatan di dalam alam digital adalah keutamaan tertinggi, dan kami mengalu-alukan untuk meneruskan usaha dan inisiatif kami bagi menambah baik taraf hidup masyarakat," katanya.

Choq (kanan) mengendalikan bengkel TikTok Shop untuk 30 usahawan - FOTO Shaikh Mohd Affiz Shaikh Abd Kadir/Kunang Pictures Group Sdn Bhd

Sementara itu, penjual dan pencipta kandungan TikTok Shop, Budok Kelate yang diwakili Muhammad Faiq Izaan Alias atau lebih dikenali sebagai Choq, berkata beliau berjaya memperbaiki cara jualan, meningkatkan keyakinan dan keupayaan untuk bercakap sepanjang jualan langsung dengan kursus ditawarkan TikTok Shop.

Katanya, pihaknya berjaya menjual sebanyak 8,000 unit kipas industri sepanjang 42 jam jualan langsung dan meraih jumlah jualan sehingga RM1 juta.

"Saya berterima kasih atas sokongan tidak berbelah-bahagi dari TikTok Shop. Platform ini telah menjadi penyumbang perubahan besar, memberi saya persekitaran yang membantu perkembangan saya.

"Alat-alat dan peluang yang disediakan di platform ini bertindak sebagai pemangkin kemajuan," katanya.

Beliau berkata, perbezaan ketara dapat dilihat apabila menyertai kursus TikTok Shop selepas hos langsung menerima peningkatan jumlah penonton berbanding dulu yang hanya menerima dua hingga tiga tontonan saja.

Nasihatnya, hos atau penjual TikTok Shop perlu konsisten memuat naik kandungan, mengekalkan pemilihan kandungan terbaik serta menarik dan menggunakan dialek tersendiri bagi menarik perhatian penonton.

"Muat naik kandungan sekurang-kurangnya dua hari sekali bagi menarik pengikut organik.

"Platform TikTok sebenarnya sangat mudah untuk melakukan jualan, paling penting cara penyampaian bagi meyakinkan pembeli dengan produk yang kita jual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 6:11 PM